Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

05.12.2022 | Majlis Pelancaran Kem Sukan Atlet Berbakat Ke-1 Tahun 2022

500_0010.jpg

500_0022.jpg 

500_0058.jpg

TEMBURONG, Isnin, 11 Jamadilawal 1444H/05 Disember 2022M. – Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengadakan Majlis Pelancaran Kem Sukan Atlet Berbakat Ke-1 bertempat di Outward Bound Brunei Darussalam.

Hadir menyempurnakan majlis pelancaran ialah Yang Mulia Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Kesukanan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Noramizul bin Haji Serbini, Pemangku Ketua Cawangan Temburong, diikuti dengan ucapan daripada Yang Mulia Dayang Nur Iffah Natasha Sofea binti Abdullah, Pemangku Ketua Pegawai Belia dan Sukan selaku Pengerusi Majlis dan diselajurkan dengan ucapan daripada tetamu kehormat. Majlis diteruskan dengan Pelancaran Program Kem Sukan Atlet Berbakat Ke-1 dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.

Seramai 35 orang atlet pelapis Skim Jabatan Belia dan Sukan yang terdiri daripada sukan Pencak Silat, Taekwando, Olahraga, Catur, Lawan Pedang, Bola Jaring dan Karate menyertai program berkenaan.

Program Kem Sukan Atlet Berbakat merupakan inisiatif Jabatan Belia dan Sukan (JBS) melalui Unit Kejurulatihan dan Pembangunan Sukan (UKPS), Bahagian Sukan dengan kerjasama Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan akan diungkayahkan selama empat hari tiga malam bermula 5 hingga 8 Disember 2022 bertempat di OBBD.

Program ini menghimpunkan sekumpulan atlet pelapis di bawah Skim Latihan JBS yang berpotensi, terbaik serta berbakat untuk menimba pengalaman, pengetahuan dan kemahiran yang menarik dengan menerapkan konsep Melayu Islam Beraja. OBBD merupakan salah sebuah agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam sama-sama menjayakan Wawasan Negara 2035 melalui strategi jaminan sosial selaras dengan objektif penubuhannya iaitu untuk membolehkan para belia membina ketahanan fizikal dan kemantapan mental serta melengkapkan diri dengan sifat-sifat tabah, berani, sabar, berdisiplin, berdikari dan bertanggungjawab serta dapat menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan dan cabaran kehidupan. Oleh itu, ianya adalah selari dengan objektif program ini.

Kem Sukan Atlet Berbakat ini juga merupakan langkah proaktif dalam merancang program bagi membimbing atlet- atlet Skim Latihan JBS yang dikenal pasti ke arah perkembangan pembangunan keperibadian mereka dan seterusnya cemerlang dalam bidang sukan.

Di samping itu, ianya juga selaras dengan Pelan Strategik 2020-2024 Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan iaitu melalui sektor kesukanan: Negara Sukan Yang Gemilang yang mana misinya adalah untuk mewujudkan persekitaran terbaik bagi kemajuan sukan dan akses kepada individu untuk: (1) Menyertai aktiviti-aktiviti kesukanan; (2) Bersaing dan mencapai kecemerlangan tinggi dalam sukan; (3) Mengamalkan gaya hidup sihat.

Antara objektif pelaksanaan program ini adalah untuk memberikan peluang berkongsi pengalaman dan pengetahuan disamping mengumpulkan atlet-atlet pelapis skim JBS yang terbaik serta memberikan pendedahan yang berbentuk intensif dalam suasana Kem Sukan bagi meningkatkan jati diri dan sahsiah atlet. Selain itu, program juga dapat melahirkan atlet yang berwibawa dan berketerampilan baik serta membentuk kerjasama dalam satu pasukan dan seterusnya memupuk semangat patriotic disamping dapat meningkatkan tahap kecergasan dalam bidang sukan.

Attachments
Created at 12/7/2022 3:19 PM by Info Jabatan Belia Dan Sukan
Last modified at 12/8/2022 10:05 AM by Info Jabatan Belia Dan Sukan