Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

28.11.2022 | Majlis Pelancaran Perkhemahan Belia Bersatu

500_9582.jpg

500_9599.jpg 

500_9615.jpg

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Jamadilawal 1444H/28 November 2022M. - Negara Brunei Darussalam memang menitikberatkan pembangunan, perkembangan dan sumbangan golongan belia terhadap kemajuan negara.

Generasi belia adalah aset negara yang sangat penting dan berperanan besar dalam mencorak dan membentuk masyarakat, bangsa dan negara pada masa akan datang.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim semasa merasmikan Perkhemahan Belia Bersatu (United Youth Camp) yang diadakan di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Dayang Umi Kalthum menjelaskan, belia yang cemerlang akan melahirkan sebuah masyarakat, bangsa dan negara yang mantap dan kukuh.

Menurutnya, cemerlang boleh diertikan sebagai memiliki nilai-nilai mulia dan kualiti diri yang baik serta berpengetahuan dan berkemahiran sesuai dengan Konsep Negara Melayu Islam Beraja dan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 serta merealisasikan Pelan Tindakan yang terkandung dalam Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035.

"Golongan belia memiliki fizikal yang kuat, cergas dan rasa ingin tahu yang tinggi. Pada masa yang sama, golongan belia juga berhadapan dengan pelbagai cabaran dan pengaruh yang jika tidak dipeduli secara bijak akan mengakibatkan perkara-perkara yang kurang disenangi akan berlaku," jelasnya.

Sewajarnyalah, tambahnya lagi, tanggungjawab semua pihak sama ada kerajaan, swasta mahupun NGO untuk memandu golongan belia ini agar sentiasa berada di atas landasan yang betul sesuai dengan hasrat negara.

Pengarah Belia dan Sukan seterusnya menekankan, ia perlu dilihat sebagai tanggungjawab kolektif di mana semua pihak dan lapisan masyarakat mempunyai peranan masing-masing dalam sama-sama mendukung hasrat murni untuk melahirkan generasi belia yang boleh diharapkan sebagai penerus kepimpinan pada masa akan datang.

Beliau menghargai Perkhemahan Belia Bersatu anjuran Persatuan BERSATU itu sebagai satu prelude menuju ke arah pelaksanaan Program Legasi Youth Camp yang akan dilaksanakan nanti.

"Kerjasama selaku Rakan Strategik sebeginilah yang diharapkan oleh pihak kerajaan ke arah/pembentukan dan/pembangunan belia selaras dengan Wawasan Belia iaitu 'Belia Berakhlak Mulia Bertaraf Dunia dan Agen Siaga Perubahan masa Hadapan dalam Semua Pembangunan Negara Secara Inklusif," ujarnya.

Dayang Umi Kalthum berharap agar para peserta akan mengambil kesempatan keemasan ini untuk meningkatkan kemahiran diri, pengetahuan dan menimba pengalaman (ke arah pembentukan kualiti yang baik / dan seterusnya menjadi pemimpin negara yang mantap dan kukuh golongan belia merupakan sebahagian daripada masyarakat perlu sentiasa menyedari bahawa kemajuan atau kemunduran sesebuah bangsa dan negara sama ada dari segi fizikal ataupun kerohanian banyak bergantung kepada sejauh mana tahap kualiti penduduk belianya.

Golongan belia sewajarnya merasa amat bersyukur dan mengambil langkah proaktif dalam mempertingkatkan keupayaan dan ketrampilan diri masing-masing.

Sesebuah bangsa dan negara itu akan lebih berbangga jika golongan belianya mahu mengambil peranan sama ada dari segi sumbangan tenaga mahupun buah fikiran dalam proses pembangunan bangsa dan negara.

Selaku generasi yang akan meneruskan kesinambungan bangsa, seyogianyalah golongan belia merebut peluang-peluang yang ada bagi memperbaiki dan mempertingkatkan pencapaian diri iaitu dengan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta sikap-sikap positif dan terpuji agar dapat menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan bangsa dan negara.

Seramai 60 peserta terdiri dari belia daripada keempat-empat daerah menyertai program kerjasama antara Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Persatuan Bekas Peserta Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun, SSEAYP (BERSATU).

Para peserta diberi satu platform iaitu satu sesi perbincangan untuk menyuarakan kebimbangan mereka, mencadangkan penyelesaian dan mencari alternatif kepada isu-isu dalam negara, serantau dan antarabangsa yang diharap akan dapat menyumbang ke arah persekitaran yang lebih baik dan memperkasakan belia masa depan yang bersedia.

Objektif utama perkhemahan antaranya untuk memupuk semangat kepimpinan, patriotisme, disiplin, kesukarelawanan dan komited dalam tugas berpasukan termasuk, aktiviti perbincangan dan persembahan.

Perkhemahan sepanjang empat hari yang akan berakhir 1 Disember depan diharap dapat memberi hasil yang positif dan melahirkan belia yang berpotensi besar selain membangunkan semangat kepimpinan, tanggungjawab, keyakinan dan mengembangkan semangat patriotik mereka disamping menerapkan calak kebruneian.​

Attachments
Created at 12/7/2022 3:05 PM by Info Jabatan Belia Dan Sukan
Last modified at 12/8/2022 10:13 AM by Info Jabatan Belia Dan Sukan