Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

13.11.2022 | Persidangan Belia Program Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP) 2022

PHOTO-2022-11-17-14-52-46-3.jpg

PHOTO-2022-11-17-14-52-48-2.jpg 

PHOTO-2022-11-17-14-52-46-2.jpg

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 18 Rabiulakhir 1444H/13 November 2022M. - Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan khususnya Jabatan Belia dan Sukan telah menghantar seramai 27 orang peserta berumur 18 hingga 30 tahun yang aktif di dalam persatuan dan pergerakan masing-masing dari keempat-empat daerah bagi menyertai Persidangan Belia Program Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP) 2022 secara maya.

Dengan membawa tema 'What Youth Can Do In The New Era Of Cooperation towards the 50th Year of ASEAN-Japan Friendship and Cooperation', persidangan dengan kerjasama Kerajaan Jepun itu akan diadakan setiap Hari Ahad selama enam (6) minggu bermula hari ini dengan majlis pembukaan dan akan diteruskan pada 20 dan 27 November, 4 dan 11 Disember serta berakhir pada 18 Disember dengan majlis penutup.

Persidangan tersebut bertujuan bagi mempromosikan lagi persahabatan dan persefahaman serta pertukaran belia antara Negara Jepun dan negara-negara ASEAN secara berterusan, di samping dapat dijadikan sebagai platform untuk belia berkongsi ilmu pengetahuan dan peluang untuk menjalinkan kerjasama.

Selain itu, persidangan juga berobjektif bagi memupuk belia yang boleh mengaplikasikan kemahiran kepimpinan mereka untuk mencari penyelesaian dalam pelbagai bidang terutamanya mengenai isu-isu sosial yang dihadapi oleh komuniti global.

Para peserta juga akan mendalami pemahaman tentang agenda sosial dan membincangkan bagaimana belia mampu menyumbang bagi mencapai matlamat pembangunan belia secara global melalui sembilan tajuk yang diberikan dalam persidangan tersebut.

Sembilan tajuk tersebut merangkumi pendidikan, bencana dan pengurangan risiko, keusahawanan, kesihatan dan kesejahteraan, maklumat dan media, ekonomi Jepun dan ASEAN, kemiskinan dan ketidaksamaan, perlindungan alam sekitar serta kuasa dan diplomasi belia.

Semasa persidangan itu nanti, para peserta akan memperdalamkan lagi perbincangan di setiap bidang, di mana setiap kumpulan perbincangan akan diketuai oleh seorang fasilitator selain aktiviti perbincangan yang merangkumi kajian lapangan maya.

Manakala setiap negara akan membentangkan perkongsian sesi pembelajaran, di mana Negara Brunei Darussalam diwakili oleh dua peserta belia iaitu Awang Muhammad Wa'ie Al-Shafiq bin Mohammad Shafiee dan Ilman Haziq bin Haji Abdullah.​

Attachments
Created at 12/7/2022 1:56 PM by Info Jabatan Belia Dan Sukan
Last modified at 12/8/2022 11:20 AM by Info Jabatan Belia Dan Sukan