Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

14.09.2022 | Mesyuarat Post-Mortem Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke XXII Commonwealth Games 2022, Birmingham, England

WhatsApp-Image-2022-09-14-at-2.51.43-PM.jpg

ND5_5071.jpg 

ND5_5137.jpg 

ND5_5166.jpg 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 14 September. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) berkenan berangkat ke Mesyuarat Post-Mortem Sukan Komanwel kali ke-22 yang berlangsung di Bilik Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah mewakili BDNOC, dalam sabda antara lain menyeru agar persatuan-persatuan sukan kebangsaan supaya akan sentiasa memastikan dan membuat perancangan yang lebih terperinci terhadap atlet-atlet mereka.

Perkara tersebut, sabda Duli Yang Teramat Mulia, sangat penting bagi mana-mana atlet dalam membuat persediaan bagi menghadapi pertandingan sama ada dari segi jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

Dalam sabda, DYTM turut menekankan persatuan-persatuan sukan kebangsaan tidak seharusnya berharap kepada bantuan daripada pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan juga Jabatan Belia dan Sukan, dalam membuat persediaan dan perancangan.

Persatuan-persatuan tersebut sabda DYTM, perlu mempunyai sikap dan sifat yang proaktif di dalam mencari jalan, dan berusaha bagi kepentingan, dan menjaga kebajikan dan kepentingan para atlet.

Di samping itu sabda DYTM lagi, persatuan-persatuan sukan kebangsaan hendaklah sentiasa bersatu hati dengan atlet-atlet mereka dalam sama-sama mencapai matlamat yang penting iaitu mengharumkan nama negara.

Pertelingkahan dalam mana-mana persatuan sukan kebangsaan sabda DYTM, tidak akan mendatangkan hasil ataupun kejayaan malahan, ianya akan membawa kejatuhan kepada persatuan kebangsaan tersebut.

Sabda DYTM lagi, persatuan-persatuan sukan kebangsaan hendaklah sentiasa kreatif dalam mencari jalan penyelesaian bagi memastikan keharmonian di antara persatuan sukan kebangsaan dan atlet hendaklah sentiasa terjalin.

DYTM dalam sabda, berpendapat bahawa atlet-atlet itu telah pun menunjukkan dan membuktikan janjinya untuk memecah rekod persendirian ataupun kebangsaan, di samping mempamerkan semangat juang yang tinggi.

Oleh itu DYTM dalam sabda juga berpendapat, atlet-atlet diharapkan akan dapat meneruskan persediaan dan seterusnya menetapkan hala tuju mereka, dan perancangan bagi mengikuti kejohanan-kejohanan akan datang, di samping menetapkan sasaran dalam melayakkan diri di Sukan Olimpik, Paris, 2024 yang akan datang, sebagai satu matlamat titik.

Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Komanwel kali ke-22, Pengiran Siti Amal Jariah binti Pengiran Matjinen, dalam laporan mesyuarat berkenaan antara lain menyembahkan mengenai prestasi dan pencapaian atlet, di samping rumusan dan cadangan bagi pembaikan prestasi atlet.

Turut hadir ke mesyuarat tersebut, Yang Mulia Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Kesukanan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; dan Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan.​


Attachments
Created at 10/6/2022 10:14 AM by Info Jabatan Belia Dan Sukan
Last modified at 10/6/2022 10:55 AM by Info Jabatan Belia Dan Sukan