Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

12.09.2022 | Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022, Malaysia

ND5_4874.jpg

ND5_4880.jpg 

ND5_4912.jpg 

ND5_4945.jpg 

ND5_4967.jpg 

ND5_4978.jpg 

ND5_4988.jpg

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 15 Safar 1444H/12 September 2022M. - Negara Brunei Darussalam akan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 yang akan diadakan secara rasminya di Kuala Lumpur, Malaysia bermula pada 16 hingga 24 September 2022.

Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022, Malaysia telah diadakan bertempat di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Hadir menyempurnakan penyerahan bendera negara tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Abd Malik bin Haji Jumat, Pegawai Hal Ehwal Masjid, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Kesukanan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan diselajurkan dengan ucapan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada Yang Mulia Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim selaku Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022, Malaysia. Sebelum majlis diakhiri, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Abd Malik bin Haji Jumat, Pegawai Hal Ehwal Masjid dan diselajurkan dengan bergambar ramai bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir dimajlis berkenaan ialah Tuan Yang Terutama Dato' Raja Reza bin Raja Zaib Shah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam; Yang Mulia Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Kesukanan), KKBS; Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS; Yang Mulia Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap (Kebeliaan), KKBS; Yang Mulia Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS; Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan serta para ibu-bapa dan penjaga.

Kontinjen Negara Brunei Darussalam dianggotai seramai 39 orang terdiri daripada 25 orang atlet dan 14 orang pegawai termasuk Chef de Mission, Ketua Urus Setia, Pegawai Urusetia, Jurulatih dan Kakitangan Perubatan.

Edisi SUKMA pada tahun ini Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak lima acara sukan iaitu Akuatik (Renang), Karate, Petanque, Pencak Silat dan Wushu.

Penglibatan Negara Brunei Darussalam dalam temasya SUKMA ini adalah sebagai pasukan jemputan di mana pertama kali negara mengikutinya adalah pada tahun 1996 iaitu SUKMA Ke-VI yang berlangsung di Negeri Pahang, Malaysia. Hingga ke hari ini negara telah berjaya memperolehi 5 pingat emas, 12 pingat perak dan 28 pingat gangsa, di mana pencapaian terbaik negara ialah pada tahun 2004 di Negeri Sembilan dengan meraih 1 pingat emas, 5 pingat perak dan 5 pingat gangsa. Kali terakhir Negara Brunei Darussalam menyertai SUKMA ialah pada tahun 2018 di Negeri Perak dengan memperolehi 1 pingat perak dan 3 pingat gangsa.

Kontinjen negara dijangka bertolak secara berperingkat-peringkat bermula esok, 13 September 2022.​

Attachments
Created at 10/6/2022 10:01 AM by Info Jabatan Belia Dan Sukan
Last modified at 10/6/2022 11:02 AM by Info Jabatan Belia Dan Sukan