Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

31.08.2022 | Majlis Pelepasan Program Bas Belia 2022

500_6442.jpg

500_6426.jpg

500_6455.jpg

500_6467.jpg

500_6489.jpg

JERUDONG, Rabu, 03 Safar 1444H/31 Ogos 2022M. – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Pertahanan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Pendidikan, Jabatan Tenaga dan Jabatan-Jabatan Daerah di keempat-empat daerah buat ketiga kalinya telah mengadakan Program Bas Belia 2022 selama lima hari bermula pada 30 Ogos hingga 3 September 2022 sebagai salah satu program sampingan bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-17 yang telah disambut pada 9 Ogos 2022.

Sehubungan dengan itu, Majlis Pelepasan Program Bas Belia 2022 telah diadakan bertempat di Kompleks Sukan Jerudong, Jabatan Belia dan Sukan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Haji Misle bin Haji Abdul Karim, Pegawai Daerah Brunei dan Muara; Yang Mulia Awang Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan serta pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Mulia Mohd Amaluddin bin Haji Jamaluddin, Imam Tingkat I, Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampong Jerudong, diikuti dengan kata-kata nasihat daripada tetamu kehormat majlis, diselajurkan dan sesi bergambar ramai dan diakhiri dengan pelepasan para peserta program menuju ke Daerah Belait.

Seramai 40 orang belia, 21 lelaki dan 19 perempuan berumur diantara 15 hingga 22 tahun dari keempat-empat daerah menyertai program berkenaan, dengan 16 daripadanya dari Daerah Brunei dan Muara, 8 dari Daerah Belait, 8 dari Daerah Tutong dan 8 dari Daerah Temburong.

Program tersebut telah bermula di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan dan akan bergerak ke Daerah Belait, Daerah Tutong dan berakhir di Daerah Temburong.

Di antara pengisian program termasuk taklimat pengenalan program, sesi suaikenal, sesi pertemuan bersama Pegawai-Pegawai Daerah, aktiviti pembangunan diri dan kepimpinan, aktiviti kerohanian dan keugamaan, aktiviti sukan dan fizikal, aktiviti keusahawanan, aktiviti kebudayaan serta aktiviti khidmat kepada masyarakat dan sebagainya.

Objektif program ini diadakan adalah untuk membentuk sahsiah peserta untuk mencapai potensi yang maksima melalui interaksi langsung dan percambahan minda serta meningkatkan ilmu dan kemahiran ke arah perkembangan dan pembangunan diri, kepimpinan, daya usaha dan persefahaman. Disamping itu, ianya dapat memberikan pendedahan kepada peserta untuk mengenali, hormat-menghormati dan seterusnya mencintai kehidupan berkomuniti, berbangsa dan bernegara dengan mengasah lagi asas agama, budaya dan tradisi puak melayu yang ada di Brunei melalui identitinya, adat resam, pantang larang dan sosio-budaya masyarakat di daerah[1]daerah.

Program Bas Belia juga merupakan sebagai wadah untuk meningkatkan kesedaran dan mendedahkan golongan sasaran kepada pelbagai info-maklumat serta membangkitkan semangat para peserta untuk sama-sama berganding bahu dan bersatu padu dalam membangunkan negara meliputi segala aspek kemajuan ilmu pengetahuan, akhlak dan adab serta melatih pola pemikiran yang positif.

Program diharap dapat melahirkan golongan belia yang mempunyai jati diri tulen sebagai pemangkin dalam mempertahankan, melindungi dan memelihara serta menghargai alam semula jadi seterusnya menyuntik kesedaran betapa pentingnya menjaga kelestarian alam dan hutan serta menjadikan generasi muda masa kini memahami kepentingan keseimbangan dalam menerajui kehidupan di era yang mencabar ini, iaitu dengan penerapan vaksin ketuhanan di samping keperluan mereka untuk beradaptasi pada perkembangan sains dan teknologi serta isu semasa dalam keadaan norma baharu.

Sementara pada sebelah pagi, para peserta telah membuat lawatan ke Akademi Angkatan Tentera Diraja Brunei yang mendedahkan peluang-peluang pekerjaan atau bercita-cita untuk menjadi seorang tentera. Selain itu, mengetahui sedikit sebanyak mengenai ketenteraan dan fungsi Akademi Tentera. Sesi soal jawab dibukakan kepada peserta dan sambutan mengenainya sangat mengkagumkan.

Manakala lawatan ke Persatuan Melayu Kedayan (Pemedayan) bertujuan untuk mengenal lebih dekat mengenai Puak Melayu Kedayan, masakannya, kebudayaannya dan bahasa kedayan. Tidak ketinggalan masakan dan permainan sukan gasing. Diakhir lawatan peserta dibawa mencuba masakan hebat puak kedayan selain pendekatan satu sama satu.

Hadir sama ke Persatuan Melayu Kedayan (Pemedayan) ialah Yang Mulia Awang Haji Misle bin Haji Abdul Karim, Pegawai Daerah Brunei dan Muara dan Yang Mulia Awang Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan.​​

Attachments
Created at 9/5/2022 9:42 AM by Hj Muhammad Syazwan Bin Hj Abd Jalil
Last modified at 10/6/2022 3:43 PM by Info Jabatan Belia Dan Sukan