Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

17.02.2020 | Suntik semangat dalam kesukanan

Atlet Wushu Negara, Awang Mohammad Adi Salihin bin Roslan yang menerima ganjaran kemenangan Skim Galakan Kecemerlangan Sukan (SPKS) tertinggi menzahirkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas ganjaran yang diberikan tersebut.

 

Beliau yang ditemui Pelita Brunei sejurus selesai Majlis Penyampaian Ganjaran Kemenangan SPKS bagi Sukan SEA Ke-30, Republik Filipina menyatakan, dengan ganjaran tersebut akan dapat menyuntik dan meningkatkan lagi semangatnya serta para atlet lain untuk terus mencapai ke tahap yang lebih baik dalam bidang kesukanan.

 

Mengimbas kembali kemenangannya pada Sukan SEA itu, Awang Mohammad Adi Salihin, berumur 19 tahun yang meraih pingat Emas dalam Acara Men's Nandao + Mens' NanGun, menjelaskan bahawa ia merupakan penyertaannya yang kedua pada temasya sukan tersebut di mana yang terdahulu ialah pada Sukan SEA di Kuala Lumpur pada tahun 2017.

 

"Walaupun gagal membuat yang terbaik semasa Sukan SEA di Kuala Lumpur, namun ia menjadi pendorong untuk saya berusaha dengan lebih kuat lagi. Setelah pulang dari Kuala Lumpur, saya terus menanam azam untuk meningkatkan lagi mutu persembahan dalam sukan Wushu ini. Sebelum menyertai Sukan SEA di Filipina, kami telah dihantar untuk menjalani latihan intensif selama sebulan di Republik Rakyat China di mana latihan diadakan setiap hari pada sebelah pagi dan petang," ujarnya.

 

Harapan beliau seterusnya adalah untuk terus meningkatkan lagi latihan dan berhasrat untuk menyertai mana-mana pertandingan di luar negara. Menurutnya, ketika ini beliau juga sedang bersiap sedia untuk menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijangka akan diadakan pada bulan Julai tahun ini di Johor, Malaysia.

 

Beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada rakan-rakan atlet yang lain agar tidak mudah putus asa dan sentiasa bersemangat kerana untuk meraih pingat adalah hasil usaha kerja keras dari para atlet sendiri dan bukannya dari orang lain.


Sumber: Pelita Brunei


Attachments
Created at 2/18/2020 10:52 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 2/19/2020 12:38 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli