Pelbagai
acara telah disusun bagi memeriahkan Festival bersempena Sambutan Jubli
Emas Penubuhan Pusat Belia (PB) di ibu negara yang bermula pada hari ini
sehingga Ahad, 9 Februari 2020.
Antara
pengisian festival berkenaan adalah persembahan pentas dan pameran,
jual-jualan, permainan tradisi, kursus serta bengkel kecantikan,
demonstrasi masakan, sukan dan rekreasi, aktiviti kolam renang, sesi
perbincangan, Basic IT, Kelas Bacaan Al-Quran serta aktiviti
keusahawanan.
Sehubungan
itu, majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan,
Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji
Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji
Abidin bertempat di Dewan Riadah, pusat berkenaan.
Sejurus
selepas perasmian, tetamu kehormat menyampaikan barangan bantuan
'Projek Berbagi Rezeki' untuk mangsa kebakaran Kampung Pengiran
Bendahara Lama.
Terdahulu,
Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat selaku
Pengerusi Majlis berkata, penyelarasan dan pengendalian
aktiviti-aktiviti ini memerlukan kerjasama yang padu serta penglibatan
daripada banyak pihak termasuk pihak kerajaan, event management dan
kumpulan belia termasuk ahli-ahli Kelab Komuniti Belia Transformasi
(KKBT).
Dengan
adanya festival ini tambahnya, masyarakat khususnya para belia
berpeluang untuk mengetahui secara dekat akan program-program yang
ditawarkan dan memaksimumkan penggunaan kemudahan yang disediakan
sebagai wadah perkumpulan belia di bangunan berkenaan.
Festival
dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan
Belia dan Sukan sebagai mengimbas kembali ristaan sejarah 50 tahun
pembukaan Pusat Belia pada 20 Disember 1969, di mana penubuhannya
sebagai platform bagi belia untuk menjalankan aktiviti dan program
kebeliaan sekali gus mengembangkan lagi potensi belia secara positif di
negara ini.