Pasukan
Bola Jaring Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Royal Bees tidak akan
mencapai tiga pingat gangsa dalam Kejohanan Sukan SEA sejak tahun 2015,
tanpa pemain-pemain yang sentiasa bekerja keras dan berdedikasi,
pengurusan menyeluruh daripada Persatuan Bola Jaring Kebangsaan Brunei
(BNA) serta kepakaran bimbingan daripada jurulatih yang diberikan kepada
pasukan tersebut.
Yang
Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah
binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah selaku Ketua Pasukan Bola Jaring
Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Royal Bees bersabda demikian pada
Mesyuarat Post Mortem Kejohanan Sukan SEA Ke-30, Republik Filipina, di
Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
Dalam
sabda Yang Teramat Mulia yang dibacakan oleh Penolong Ketua Pasukan,
Dayangku Khalisha binti Pengiran Haji Abdul Rahman, sukan bola jaring
merupakan sukan yang semakin berkembang di negara ini dan sepuluh tahun
lalu pasukan kebangsaan tidak bersaing di peringkat serantau atau
antarabangsa apatah lagi dalam kejohanan berkontinjen seperti Sukan SEA.
Tambahnya,
dengan jurulatih yang betul dan rejim latihan yang sangat baik, Royal
Bees menjalani perjalanan hebat bersama jurulatih-jurulatih terdahulu
dan masa kini, di mana tidak boleh diabaikan kerana mereka perlu
berusaha untuk meningkatkan kualiti bola jaring tempatan.
Dengan
cara latihan yang sistematik dan tepat ujarnya, ia akan dapat
memberikan inspirasi kepada para pemain bola jaring bertahap tinggi
untuk meningkatkan prestasi mereka.
Menurutnya,
pembangunan asas bola jaring yang baik diperlukan di Brunei dengan
menghasilkan lebih banyak pemain-pemain muda untuk bermain bola jaring
secara aktif; dan menghasilkan jurulatih-jurulatih berkelayakan.
Beliau
seterusnya menyarankan agar seorang jurulatih yang berkebolehan dan
berbakat dalam bidang ini adalah diperlukan dan penting untuk memastikan
keberlangsungan akar umbi bola jaring terus berkembang kerana generasi
seterusnya akan mengambil alih juga bermain lebih baik daripada mereka.
Bagi
Royal Bees tambahnya, tidak ada yang mudah tanpa dedikasi, disiplin dan
semangat sebenar kerana untuk mengekalkan kecemerlangan adalah satu
cabaran.
Sumber: Pelita Brunei