Pertandingan
Dart Beregu Terbuka Kali Ke-2 sempena Brunei December Festival (BDF)
2019 dan Sambutan Jubli Emas Pusat Belia bermula hari ini selama tiga
hari, bertempat di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.
Sehubungan
itu, Majlis Perasmian Pertandingan tersebut disempurnakan oleh
Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirizal bin Pengiran
Haji Mahmud.
Pada
pertandingan kali ini, sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu
Beregu Terbuka, Perseorangan Terbuka dan Perseorangan Wanita, dengan
penyertaan lebih 200 peserta dari dalam dan luar negara.
Pertandingan
dianjurkan oleh Kampung Tanjong Bunut (KTB) Darters yang dikendalikan
bersama Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT) dan disokong penuh oleh
Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Jabatan Belia dan
Sukan, serta Persatuan Dart Kebangsaan Brunei (BNDA).
Dengan
pengalaman dan penerimaan maklum balas yang positif dalam pengendalian
Pertandingan Dart Beregu Terbuka yang diadakan pada BDF tahun lalu,
acara tersebut disasarkan untuk menjadi lebih teratur dan akan membawa
faedah kepada semua pihak yang terlibat.
Selain
untuk menunjukkan kebolehan para pemain kepada pihak dan agensi yang
boleh menaja mereka untuk bersaing di peringkat antarabangsa,
pertandingan tersebut juga bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara
pemain serantau dan antarabangsa serta memperkenalkan sukan Dart agar
dapat menarik minat orang ramai untuk mencuba dan terlibat dalam sukan
tersebut.
Di
samping itu, ia juga menunjukkan hubungan kekeluargaan yang dikongsi
oleh komuniti Dart di Negara Brunei Darussalam, di mana persaingan di
antara satu sama lain tidak akan menjejaskan persahabatan para pemain.
Sumber: Pelita Brunei