Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

03.08.2019 | Sambutan HBK iktiraf penglibatan belia

​Hari Belia Kebangsaan (HBK) yang disambut pada setiap 1 Ogos merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan terhadap pergerakan belia di negara ini di mana para belia berkumpul dengan tujuan yang bermakna.


Dalam usaha membangun belia di negara ini Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa memberikan perhatian yang penuh melalui penyediaan berterusan program-program pembangunan kapasiti, kemudahan-kemudahan prasarana, infrastruktur dan bantuan fizikal dan fiskal.


Selain itu, HBK juga merupakan wadah kepada para belia untuk mengadakan perjumpaan khusus bagi menghargai sumbangan dalam pembangunan belia.


Sehubungan itu, Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al- Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Majlis Sambutan HBK Ke-14 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas setentunya memberikan makna yang sungguh mendalam kepada para belia di negara ini dan sebagai suntikan semangat kepada mereka untuk terus berusaha dalam menyumbangkan tenaga ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.


Berangkat sama pada majlis sambutan tersebut ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.


Menjunjung keberangkatan Kebawah DYMM berserta kerabat diraja yang lain ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-14, 2019; Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw, selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-14, 2019 dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.

 

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.


Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam sembah alu-aluannya menyembahkan bahawa Kajian Rebiu Dasar Belia Negara telah dilaksanakan pada tahun ini dan diselaraskan dengan Resolusi Kongres Belia yang diadakan pada bulan Jun 2019.


''Insyaa Allah, abis hamba Kebawah Duli Tuan Patik menyasarkan bagi rebiu berkenaan untuk siap dilaksanakan sesegeranya pada tahun ini. Apa yang paling penting ialah bagi hasil daripada rebiu ini untuk diimplementasikan secara berterusan dan sepenuhnya agar memberikan impak tinggi dalam merealisasikan belia Brunei yang benar-benar Siaga Masa Depan. Dengan kerjasama padu dan usaha yang berterusan dalam perkara ini, hamba Kebawah Duli Tuan Patik yakin semua pihak akan terus memainkan peranan yang penting dalam membimbing dan memperkasa belia Brunei agar hasrat untuk menjadikan mereka sebagai agen perubahan akan menjadi satu kenyataan, selaras dengan keperluan negara pada masa kini serta matlamat Wawasan Brunei 2035. Insyaa Allah,'' ujar Yang Berhormat.


Yang Berhormat turut menyembahkan dan melahirkan rasa bangga atas komitmen tinggi para belia di mana sebahagian besar perancangan dan pengendalian Sambutan HBK tahun ini telah diterajui oleh mereka sendiri.


Sesuai dengan tema dan fokus sambutan yang menjurus kepada Keusahawanan dan Teknologi, Majlis Perhimpunan Ramah Mesra Belia kali ini, jelas Yang Berhormat, mengetengahkan kemajuan para belia dalam empat kluster utama yang merangkumi bidang yang luas iaitu Ekonomi Kreatif, Perusahaan Sosial, Pembangunan Lestari dan Kesukarelawanan.


''Penglibatan para belia dalam empat kluster yang penting ini amat signifikan dan telah menunjukkan peningkatan berterusan dari tahun ke setahun terutamanya dalam sumbangan mereka kepada masyarakat dan negara,'' sembah Yang Berhormat.


Majlis seterusnya diikuti dengan titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al- Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Pada majlis itu, Ikrar Belia dibacakan oleh seramai 52 belia dari Institusi Pendidikan, Persatuan Beruniform, Persatuan dan Kelab, Alumni-alumni termasuk belia mewakili tujuh Etnik Brunei diketuai oleh Awang Muhammad Hanis bin Haji Osman, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Sosial Generasi Bekarih diiringi oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yusof bin Haji Abdul Majid dan Pegawai Pendidikan di Pusat Tingkatan Enam Tutong, Dayang Nurul Hadina binti Haji Alias.


Atur cara disusuli dengan tayangan video terbitan kumpulan belia kreatif yang memaparkan pembangunan dan pencapaian belia dalam peledakan era ekonomi digital, revolusi industri 4.0 dan penggunaan teknologi dalam mencapai Wawasan Negara 2035 serta penglibatan belia secara aktif dan mampan dalam sektor ekonomi kreatif, keusahawanan sosial, kesukarelawanan dan pembangunan lestari.


Turut menyerikan majlis ialah persembahan khas belia yang mencerminkan benih-benih transformasi seiring perkembangan ekonomi web serta pembangunan pesat dalam produk berteknologi dan sistem automasi lebih pintar. Kesiagaan belia-belia negara dalam sama-sama membangun negara untuk menyahut gagasan titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja.


Acara kemuncak sambutan ialah Penyampaian Anugerah HBK 2019 dalam empat kategori iaitu Belia Cemerlang, Belia Berkhidmat, Pemimpin Muda Belia dan Projek Cemerlang Untuk Belia yang disempurnakan oleh Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Penerima-penerima Anugerah Hari Belia Kebangsaan dalam Kategori Belia Cemerlang, Belia Berkhidmat dan Pemimpin Muda Belia masing-masing telah menerima sebuah trofi, kain tenunan, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak BND 3,000.


Manakala dalam Kategori Projek Cemerlang Untuk Belia telah menerima sebuah trofi, sijil penghargaan dan 'seed grant' sebanyak BND 3,500.


Kebawah DYMM berserta kerabat diraja kemudiannya dijunjung berangkat ke Perhimpunan Ramah Mesra Belia di Dewan Persidangan Utama.


Pada tahun ini fokus utama Perhimpunan Ramah Mesra Belia adalah Keusahawanan dan Teknologi dengan format berdasarkan empat kluster utama, iaitu Pembangunan Lestari, Ekonomi Kreatif, Perusahaan Sosial dan Kesukarelawanan.


Kesinambungan daripada perhimpunan ini, satu Pleno Usahawan Belia 2019 juga turut diadakan dan telah dibukakan kepada orang ramai yang diadakan pada sebelah petang, 3 Ogos 2019.


Sebanyak tiga sesi telah diadakan dan ianya dikendalikan oleh Young Entrepreneurs Association Brunei (YEAB) dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei.


Baginda seterusnya dijunjung bagi menandatangani Lembaran Kenangan dan berkenan menerima pesambah daripada Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-14, 2019.


Konsep Sambutan HBK tahun ini memfokuskan kepada keusahawanan dan teknologi dan tema sambutan pula ialah 'Belia Siaga Masa Depan'.


Siaga bermaksud siap sedia. Belia menjadi tonggak utama negara dalam menentukan hala tuju dan kemajuan negara pada masa depan. Betapa pentingnya belia pada sesebuah negara adalah terletak pada peranan belia sebagai pemacu kemajuan pembangunan negara pada masa depan.

 

Kemampuan belia menuju masa depan amat berkait rapat dengan mempersiapkan belia dengan 'acuan' yang berkualiti dan mampu mendepani pelbagai cabaran yang sukar diramalkan dengan cara yang bijak dan berwibawa.


Belia masa depan itu adalah belia yang holistik, bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, sahsiah dan kerohanian, tetapi juga belia yang berkemahiran, inovatif dan kreatif sejajar dengan kepesatan kemajuan pelbagai bidang.


Strategi untuk mempersiapkan belia siaga masa depan merupakan tanggungjawab secara bersepadu antara pihak kerajaan, swasta dan pertubuhan awam (NGO) sebagai agenda utama dalam pembangunan negara.


Mempertajam, meneroka serta menyerlahkan kemahiran dan potensi modal insan belia siaga masa depan menjadi strategi negara yang harus dilaksanakan bagi melahirkan aset negara yang bertanggungjawab. Belia perlu dibimbing dan dididik agar kelak menjadi generasi yang berguna dan bermanfaat kepada bangsa dan negara.


Sambutan HBK Ke-14 juga akan diisikan dengan acara-acara sampingan iaitu Program Bas Belia pada 7 hingga 13 September 2019 dan Riadah Berbasikal yang akan diadakan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.


Riadah pada kali ini adalah bersempena Ulang Tahun Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-73; Hari Keluarga Kebangsaan dan Hari Belia Kebangsaan.


Sesuai dengan matlamat Sambutan HBK 2019 iaitu untuk mengiktiraf belia dan pergerakan belia di negara ini maka adalah diharapkan dengan pelaksanaan sambutan kali ini akan dapat menggalakkan lebih ramai penglibatan golongan belia dalam pelbagai aktiviti kebeliaan khususnya dan terlibat sama dalam usaha-usaha pembangunan negara amnya.


Maklumat lanjut mengenai Sambutan HBK Ke-14 boleh melayari laman sesawang rasmi di 'www.hbk.gov.bn'.




















Sumber : Pelita Brunei

Attachments
Created at 8/13/2019 4:06 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 8/13/2019 4:06 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli