Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

30.06.2019 | Sambutan Hari Olimpik Meriah

​Pada setiap 23 Jun, Negara Brunei Darussalam menyertai seluruh dunia menyambut Hari Olimpik bagi memperingati kelahiran Hari Olimpik Moden pada 23 Jun 1894 di Paris.

 

Hari ini, negara meraikan sambutan tersebut di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

 

Berangkat melancarkan Sambutan Hari Olimpik 2019 ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam.

 

Turut berangkat ialah anakanda Duli Yang Teramat Mulia, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Aliiyah Amalul Bulqiah.

 

Keberangkatan tiba DYTM dijunjung oleh Naib Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNOC), Awang Haji Mohd. Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Hari Olimpik 2019, berserta ahli Jawatankuasa Hari Olimpik 2019.

 

Sambutan Hari Olimpik 2019 dianjurkan oleh BDNOC dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi meraikan Hari Olimpik Sedunia.

 

DYTM mula-mula berkenan melancarkan Sambutan Hari Olimpik 2019, diikuti dengan sesi senamrobik.

 

DYTM kemudian berkenan mengunjungi beberapa pameran sukan dan juga menyertai beberapa permainan iaitu futsal dan permainan tradisional. Sementara itu, Yang Amat Mulia pula turut menyertai permainan bola jaring dan permainan tradisional.

 

Sejurus selepas itu, DYTM berkenan menyampaikan pingat kepada peserta kanak-kanak yang menyertai acara olahraga (kids athletes) dan seterusnya penyampaian pingat kepada para peserta yang menyertai perlawanan bola sepak lima sepasukan (futsal.

 

 

Turut menyerikan sambutan tersebut, kehadiran bekas peserta-peserta Olimpik yang telah menyertai perlawanan sukan Olimpik musim panas.

 

Antara perisian Sambutan Hari Olimpik kali ini ialah aktiviti-aktiviti sukan seperti bola sepak lima sepasukan, olahraga bagi kanak-kanak, hoki, bola jaring, tekwando dan permainan tradisional.

 

Sambutan juga dimeriahkan dengan Pameran 2020 Tokyo Olympic Games  yang dikelolakan oleh Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Pusat Perubatan dan Penyelidikan Sukan (SMRC) dan Brunei Darussalam Anti-Doping Committee.

 

Sambutan pada tahun ini diisikan dengan pelbagai kegiatan sukan yang dijadikan sebagai satu riadah dan amalan cara hidup sihat yang boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat.

 

Konsep sambutan sebegini di hasrat akan dapat menzahirkan kesedaran mengenai pentingnya 'fair play', sukan untuk masyarakat dan sukan untuk kesihatan. Inilah nilai-nilai utama Olimpik yang perlu dikembangluaskan pada setiap masa.

Attachments
Created at 7/10/2019 3:13 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 7/10/2019 3:13 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli