Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

25.04.2019 | Tekad Pamer Prestasi Terbaik

Para atlet termasuk Skuad Bola Jaring Negara Brunei Darussalam (NBD) sememangnya berharap untuk memberikan mutu persembahan terbaik agar dapat menaikkan bendera negara tanda kemenangan di Sukan Arafura 2019 yang akan berlangsung di Darwin, Australia bermula 26 April sehingga 4 Mei depan.

 

Pengurus pasukan, Dayang Hajah Nurmah binti Haji Juma'at dan Penolong Pengurusnya, SSjn (B) Sabariah Binti Haji Kamel Jumat seterusnya menjelaskan sebanyak lapan Pasukan Bola Jaring akan bertanding pada kejohanan kali ini yang dijangka akan bermula 1 Mei ini nanti.

 

Persiapan telah giat dilakukan sejak tahun lalu dengan latihan-latihan seperti kemahiran, kecergasan dan 'agility'.

Pasukan Bola Jaring yang dibarisi seramai 13 orang pegawai dan atlet serta seorang pegawai urus setia Kontinjen NBD telah berlepas ke Darwin, Australia.

 

Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud yang juga turut memberikan kata-kata semangat dan juga nasihat kepada kontinjen negara.

 

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said dan Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat.

Sebelum berlepas meninggalkan negara, Doa Selamat dibacakan oleh Awang Haji Abdul Halim bin Haji Fuad.

 

Kontinjen NBD akan menyertai sebanyak tiga acara sukan iaitu Bola Jaring, Olahraga bagi atlet Para dan Renang.

 

Temasya sukan dwitahunan itu kali terakhir diadakan pada tahun 2011 dan kontinjen NBD berjaya memperolehi sebanyak 14 pingat iaitu empat emas, enam perak dan empat gangsa.

 

Edisi kali ini akan disertai seramai 1,500 atlet yang akan berentap merebut pingat dalam 17 acara sukan yang dipertandingkan iaitu 3x3 pro Hustle, Olahraga, Badminton, Bola Keranjang, Bola Tampar Pantai, Bola Tampar, Tinju, Bola sepak, Muaythai, Bola jaring, Sailing, Sepak Takraw, Skuasy, Renang, Pingpong dan Angkat Berat.

 

Sebanyak 40 negara akan menyertainya antaranya American Samoa, Australia, Austria, Bangladesh, Negara Brunei Darussalam, Kemboja, China, Taiwan, Kepulauan Cook, Republik Czech, England, Persekutuan Micronesia, Fiji, Perancis, Great Britain, Guam, Hungary, India, Indonesia, Israel, Kazakhstan, Kiribati, Macau, Malaysia, Malta, Kepulauan Marshall, Mongolia, Nauru, Nepal, New Caledonia, New Zealand, Nigeria, Pakistan, Papua New Guinea, Filipina, Romania, Samoa, Singapura, Kepulauan Solomon, Thailand, Timor-Leste, Tonga, Turki, Tuvalu, Ukraine, Emiriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat, Uzbekistan, Vanuatu dan Viet Nam.

Attachments
Created at 5/2/2019 3:57 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 5/4/2019 11:57 AM by Dk Yati Binti Pg Rumbli