Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

25.04.2019 | AWANG ABDULL MUIN, DAYANGKU SITI UMMI SYAZANA MUNCUL JOHAN

​Awang Abdull Muin bin Haji Abdul Hamid dan Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Marjuki masing-masing muncul johan qari dan johan qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1440 Hijrah / 2019 Masihi Peringkat Akhir.

 

Pada pertandingan yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini, johan qari dan qariah membawa pulang piala pusingan, piala iringan, wang tunai BND2,000 dan sijil penyertaan.

 

Sementara naib johan qari dan qariah masing-masing dijuarai oleh Awang Muhammad Sa'dun bin Suhaili dan Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri dengan menerima hadiah piala iringan, wang tunai BND1,500 dan sijil penyertaan.

 

Di tempat ketiga qari dan qariah pula jatuh kepada Awang Abdul Qawiyeel Azeez bin Haji Abd. Rajid dan Dayangku Alma Hazirah binti Pengiran Haji Jofri, masing-masing membawa pulang piala iringan, wang tunai BND1,000 dan sijil penyertaan.

 

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

 

Juga hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; Setiausaha-setiausaha Tetap KKBS dan Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan pegawai-pegawai kanan KKBS.

 

Pertandingan tahun ini menunjukkan peningkatan penyertaan sebanyak 22 peratus, di mana seramai 105 peserta belia qari dan qariah dari seluruh negara menyertai pertandingan tahun ini berbanding 86 peserta pada tahun lalu.

 

Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan merupakan program anjuran KKBS yang mula dilaksanakan sejak tahun 1980-an dan berjaya melahirkan banyak qari dan qariah belia yang berkaliber, seterusnya mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

 

Di samping itu, musabaqah juga berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di negara ini untuk melihat keupayaan juga prestasi masing-masing, khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu atau taranum.

 

Selain untuk menyediakan wadah bagi melahirkan qari dan qariah belia berpotensi tinggi sebagai pelapis qari dan qariah negara, musabaqah juga diadakan untuk mempertingkatkan mutu pembacaan Al-Quran dalam kalangan belia dan memupuk juga menyemai rasa persahabatan dalam kalangan peserta belia melalui program keagamaan, di samping sebagai persediaan pemilihan wakil negara ke Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara anjuran KKBS.

Attachments
Created at 5/2/2019 3:40 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 5/2/2019 4:08 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli