Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

14.04.2019 | ASRAMA PUSAT BELIA DIBUKA SEMULA

​Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Sabtu lepas telah mengadakan Majlis Pembukaan Semula Asrama Pusat Belia setelah dinaik taraf dan projek ini mengambil masa lima bulan untuk disiapkan, bermula 11 Oktober 2018 hingga 5 Mac 2019 sebelum ia dibuka semula. Kali pertama asrama tersebut diubah suai pada tahun 2007.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil selaku Wakil Peribadi Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk menyempurnakan Majlis Pembukaan Semula.


Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dikepalai oleh Ustaz Haji Abdul Halim bin Haji Fuad diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Penyelia Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Amit selaku Pengerusi Majlis yang antaranya menjelaskan, asrama tersebut telah banyak meninggalkan kenangan manis kepada penempatan mangsa kebakaran.


Majlis diiringi dengan laungan selawat daripada lapan pelajar daripada Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama para jemputan yang hadir sebaik sahaja Majlis Pembukaan Semula asrama disempurnakan.


Pengerusi Majlis seterusnya mengiringi tetamu kehormat dan para jemputan yang hadir untuk meninjau bilik-bilik asrama sebelum menyaksikan pameran.


Turut hadir, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari dan Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Khamis juga selaku Penghulu Mukim Kota Batu; Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said; Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Zafri bin Haji Mohamed selaku Penasihat Majlis serta Ketua-ketua Jabatan dan Pegawai-pegawai Kanan kerajaan.


Terdahulu, bangunan asrama dan bilik-bilik asrama dibacakan dengan Surah Al-Baqarah secara beramai-ramai dan setiap bilik tersebut diazankan oleh pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.


Terdapat sejumlah 13 buah bilik Asrama Lelaki dengan muatan 44 buah katil dan sebuah bilik keluarga, tiga buah bilik Asrama Perempuan dengan muatan 20 buah katil dengan jumlah kesemuanya 16 buah bilik dengan pengisian 64 buah katil dan sebuah katil keluarga.


Penaiktarafan Asrama Pusat Belia secara amnya bertujuan untuk menyediakan prasarana-prasarana kepada para belia di luar sana, baik yang bergerak secara berpersatuan, kumpulan atau individu. Selain itu, penaiktarafan Asrama Pusat Belia adalah seiring dengan perubahan zaman, melakukan evolusi dalam sama-sama mengembang majukan Pusat Belia, di ibu negara.


Bangunan Pusat Belia, kurang dari lapan bulan akan menjangkau usianya ke-50 tahun. Ke arah itu, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan, antaranya penyediaan Ruang Belia Kitani, menaik taraf Asrama Pusat Belia dan pembukaan semula Dapur Belia serta Café Belia dengan kerjasama Darussalam Enterprise @DARe. Perancangan menaik taraf kemudahan-kemudahan lain juga akan dilaksana secara berperingkat-peringkat.


Dengan pembukaan kembali asrama ini, pastinya akan menjana ekonomi negara dan tidak pula akan terbeban kepada penyewa, memandangkan setiap penyewa hanya akan dikenakan bayaran BND15 seorang dan untuk bilik keluarga dikenakan BND20 sahaja.


Waktu pendaftaran asrama bermula jam 8 pagi hingga 10 malam dan tutup pada setiap hari Jumaat bermula pukul 12 tengah hari hingga 2 petang. Maklumat lanjut mengenainya, bolehlah menghubungi Pusat Belia di talian +673 2222900 atau +673 2221219.

Attachments
Created at 5/2/2019 3:20 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 5/2/2019 3:20 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli