Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

27.03.2019 | Perkhemahan kukuhkan keyakinan Ahli Pengakap Laut

Seramai 19 Ahli Pengakap Laut dari Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar dan Sekolah Menengah Berakas berjaya menamatkan Perkhemahan Kemahiran Kegiatan Luar , yang bermula 25 Mac lepas.

 

Sepanjang perkhemahan selama tiga hari itu, pelbagai aktiviti dan kegiatan luar yang mencabar dilalui oleh Ahli-ahli Pengakap Laut berkenaan.

 

Tujuan perkhemahan adalah bagi memastikan Ahli-ahli Pengakap Laut dapat mempelajari aktiviti yang dilakukan dengan lebih sistematik dan terperinci, terutama sekali kemahiran dalam bidang aktiviti air.

 

Di samping itu, ia juga adalah bagi mengisi waktu percutian persekolahan penggal pertama serta bagi mendapatkan lencana kemahiran.

 

Semasa perkhemahan dijalankan, Ahli-ahli Pengakap Laut diajar oleh jurulatih berpengalaman dan diiktiraf dari Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Antara aktiviti yang dilakukan ialah Pendakian, Abseiling, Sukan Kayak dan Renang di mana mereka melalui beberapa proses permulaan aktiviti bagi meningkatkan keyakinan Ahli Pengakap Laut sebelum memulakan aktiviti.

 

Pemimpin Pasukan Pengakap Laut Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Skipper Muhammad Shukri bin Haji Masri berharap, dengan melakukan aktiviti ini, mereka akan lebih berkeyakinan dalam melakukan aktiviti di air, di samping dapat memberikan ilmu-ilmu yang dipelajari kepada ahli-ahli yang tidak berkesempatan menyertai perkhemahan tersebut.

 

Dengan kejayaan mengadakan perkhemahan ini, beliau berharap, Ahli-ahli Pengakap Laut akan terus berkolaborasi dengan Jabatan Belia dan Sukan bagi meneruskan kegiatan dan latihan di masa akan datang.

 

Sumber: Pelita Brunei Online

Attachments
Created at 4/11/2019 3:40 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 4/11/2019 3:43 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli