Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

24.03.2019 | Larian Hari Kebangsaan 2019 jana hidup sihat

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam telah menganjurkan Larian Hari Kebangsaan 2019 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-35 Tahun 2019.

 

Larian diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien bagi Daerah Brunei dan Muara dan Kompleks Sukan Temburong bagi Daerah Temburong.

 

Mengetuai acara larian di Daerah Brunei dan Muara ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

 

Atur cara dimulakan dengan sesi senaman pemanasan badan dan diikuti dengan pelepasan acara Larian Hari Kebangsaan mengikut kategori yang disediakan iaitu, Kategori Terbuka Wanita; Veteran Wanita dan Remaja Perempuan 16 Tahun Ke Bawah sejauh 10 kilometer diikuti Kategori Terbuka Lelaki; Veteran Lelaki dan Remaja Lelaki 16 Tahun Ke Bawah sejauh 10 kilometer dan Kategori Fun Run sejauh 4 kilometer.

 

Sementara di Daerah Temburong, hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu.

 

Di sini, acara dimulakan dengan sesi senaman pemanasan badan dan diteruskan dengan pelepasan acara Larian Hari Kebangsaan bagi Kategori Fun Run sejauh empat kilometer.

 

Seramai 2,178 orang telah mendaftar di keempat-empat daerah untuk menyertai Larian Hari Kebangsaan 2019. Dari jumlah tersebut sejumlah 1,724 penyertaan di Daerah Brunei dan Muara; Daerah Belait seramai 136; Daerah Tutong seramai 184 dan Daerah Temburong seramai 134.

 

Larian Hari Kebangsaan antara lain bertujuan untuk memperingati sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-35 Tahun 2019, di samping menggalakkan masyarakat di negara ini mengamalkan cara hidup sihat dengan melibatkan diri dalam kegiatan sukan dan riadah secara berterusan, serta memupuk perpaduan, persefahaman dan kerjasama di kalangan lapisan masyarakat demi pembangunan dan kemajuan sukan untuk negara.

 

Aktiviti larian sememangnya menjadi kegemaran orang ramai yang dapat menyatukan pelbagai peringkat golongan dan lapisan masyarakat, terutamanya belia dan beliawanis tanpa meninggalkan golongan orang tua dan kanak-kanak.


Sumber : Pelita Brunei - Oleh : Aimi Sani / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman, Jabatan Belia dan Sukan

Attachments
Created at 3/26/2019 2:19 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 3/26/2019 2:19 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli