Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

04.03.2019 | 23 belia berlepas ke Tokyo, Jepun

Seramai 23 orang perwakilan belia berlepas ke Tokyo, Jepun bagi menyertai Program Pertukaran Pelajar dan Belia Jepun-Asia Timur (JENESYS) 2018 untuk Program Pertukaran Komunikasi Bahasa Jepun dan Budaya Jepun.

 

Para peserta program selama lapan hari bermula pada 5 Mac, terdiri daripada Ahli-ahli Persatuan Belia Kebangsaan, alumni Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), para pelajar dan mahasiswa dari beberapa Institusi Pengajian Tinggi.

 

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Zafri bin Haji Mohamed.

 

Turut hadir, Setiausaha Kedua selaku wakil daripada Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Hiroki Akasaka.

 

Program tersebut antara lain bertujuan untuk mempromosikan persefahaman dalam kalangan rakyat dan penduduk Jepun serta rantau Asia-Pasifik juga bagi membina asas persahabatan dan kerjasama untuk masa hadapan.

 

Program tersebut turut menggalakkan pemahaman mengenai kepentingan sosial, ekonomi dan budaya dalam ASEAN dan Jepun, di samping membincangkan unsur-unsur keamanan dan kemakmuran daripada sudut pandangan sejarah dan pengajaran yang dapat dipelajari daripadanya.

 

Sepanjang program dijalankan, perwakilan belia tersebut antaranya akan menjalankan orientasi, mendengarkan syarahan mengenai kebudayaan dan kesenian Jepun, mengikuti bengkel yang berkaitan dengan tema program, membuat lawatan ke kerajaan tempatan di Wilayah Kanto dan 'homestay' bersama keluarga angkat.

 

JENESYS merupakan sebuah program pertukaran belia yang dianjur dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Jepun sejak tahun 2007 dalam usaha untuk menjalinkan hubungan dua hala dan persahabatan.

 

Ia juga bagi mempromosi nilai-nilai budaya, adat resam dan memahami cara hidup masyarakat Jepun.


Berita dan Foto : Marlinawaty Hussin

Attachments
Created at 3/7/2019 12:31 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 3/7/2019 12:31 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli