










Negara Brunei Darussalam akan menghantar kontinjen bagi menyertai Sukan Para ASEAN Ke-13 2025 di Nakhon Ratchasima, Thailand yang akan diadakan secara rasminya bermula pada 20 hingga 26 Januari 2026.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam dianggotai seramai 21 orang terdiri daripada 12 orang atlet dan 9 orang pegawai termasuk Chef de Mission, Ketua Urus Setia, Pegawai Urus Setia/Safeguarding, Fisioterapi, Jurulatih dan Penolong Jurulatih.
Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Para ASEAN Ke-13 2025, Thailand telah diadakan bertempat di Bilik Simpur, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Hadir menyempurnakan penyerahan bendera negara tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat majlis.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Nordin bin Haji Durahman, Guru Ugama Terlatih, Kompleks Rumah Kebajikan, diikuti dengan ucapan daripada tetamu kehormat majlis dan diteruskan dengan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam oleh tetamu kehormat majlis kepada Yang Mulia Awang Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor selaku Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Para ASEAN Ke-13 2025, Thailand. Majlis turut menyaksikan bacaan ikrar janji daripada Kontinjen Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Yang Mulia Muhammad Danial Hakim bin Harjimmey. Sebelum majlis berakhir, Doa Selamat telah dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Nordin bin Haji Durahman, Guru Ugama Terlatih, Kompleks Rumah Kebajikan dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat majlis.
Turut hadir dimajlis berkenaan ialah Yang Mulia Kittivudh Pinyowit, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Diraja Thailand di Negara Brunei Darussalam; Yang Mulia Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, Pemangku Setiausaha Tetap (Kebudayaan) selaku menjalankan tugas Setiausaha Tetap (Kesukanan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan; ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan; dan keluarga atlet.
Edisi Sukan Para ASEAN kali ini, Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak 3 acara sukan daripada 19 sukan yang dipertandingkan iaitu Olahraga, Tenpin Bowling dan Renang.
Negara Brunei Darussalam mula mengikuti Sukan Para ASEAN pada tahun 2001. Hingga ke hari ini negara telah berjaya memperolehi 40 pingat emas, 44 pingat perak dan 60 pingat gangsa secara keseluruhan, di mana pencapaian terbaik negara ialah pada tahun 2009 di Kuala Lumpur, Malaysia dengan meraih 9 pingat emas, 5 pingat perak dan 7 pingat gangsa. Kali terakhir Negara Brunei Darussalam menyertai Sukan Para ASEAN ialah pada tahun 2023 di Phnom Penh, Kemboja dengan memperolehi 3 pingat emas, 3 pingat perak dan 2 pingat gangsa.
Kontinjen negara dijangka bertolak ke Thailand pada hari Jumaat, 16 Januari 2026.