






Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-33 2025 dijadual berlangsung secara rasminya mulai 9 hingga 20 Disember 2025 di Bangkok, Thailand.
Seramai 36 orang ahli kontinjen Negara Brunei Darussalam terdiri daripada 21 orang atlet sukan Karate, Sepak Takraw dan Taekwondo serta 15 orang pegawai termasuk Assistant Chef de Mission, Pegawai Urus Setia, Pegawai Perubatan dan Jurulatih telah berlepas ke Bangkok, Thailand bagi menyertai kejohanan tersebut.
Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah berkesudian hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar dan memberikan ucapan serta kata-kata semangat.
Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Mulia Awang Shahram bin Haji Abd Rahman, diikuti dengan ucapan kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.
Negara Brunei Darussalam dalam temasya Sukan SEA ke-33 ini akan menyertai 9 acara sukan daripada 54 sukan yang dipertandingkan iaitu Akuatik Renang, Angkat Berat, Bola Jaring, Karate, Pencak Silat, Polo, Sepak Takraw, Taekwondo dan Wushu.
Hadir sama ialah Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan dan keluarga atlet.
Rombongan seterusnya akan bertolak ke Bangkok, Thailand pada hari Selasa, 9 Disember 2025.