










Negara Brunei Darussalam (NBD) hari ini mencatat pencapaian serantau penting dengan pelancaran dan pelepasan rasmi Program Bas Belia BIMP-EAGA 2025, yang menghimpunkan belia dari Negara Brunei Darussalam (NBD), Indonesia, Malaysia dan Filipina untuk mengikuti perjalanan pembelajaran merentasi destinasi-destinasi terpilih dalam rantau BIMP-EAGA.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, yang dalam ucapannya menegaskan bahawa program ini mencerminkan komitmen bersama negara-negara anggota BIMP-EAGA untuk memperkasa belia sebagai pemimpin masa hadapan bagi kerjasama serantau. Yang Berhormat turut menekankan bahawa belia bukan sekadar penerima manfaat pembangunan, tetapi penyumbang aktif kepada kemajuan serantau, khususnya dalam dunia yang sedang mengalami perubahan pesat serta dipacu oleh kerjasama rentas sempadan.
Program Bas Belia BIMP-EAGA 2025 memberi peluang pendedahan secara langsung kepada para peserta melalui lawatan komuniti, taklimat institusi, pertukaran budaya, serta sesi interaktif bersama usahawan belia dan industri setempat. Pengalaman ini bertujuan memperdalam pemahaman peserta mengenai kekuatan ekonomi yang pelbagai dalam BIMP-EAGA, termasuk dalam bidang inovasi digital, ekopelancongan, pertanian, industri kreatif dan perusahaan mapan.
Direka untuk mengukuhkan hubungan rakyat-ke-rakyat, program ini menyokong aspirasi BIMP-EAGA untuk membina perpaduan serantau, pemahaman silang budaya, dan kerjasama jangka panjang dikalangan generasi muda. Program ini dijangka akan meningkatkan pemahaman para perserta tentang keterkaitan ekonomi rantau BIMP-EAGA, keutamaan pembangunan bersama, peluang bagi membina rangkaian persahabatan, kerjasama dan membina jati diri serantau yang lebih kukuh.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat turut menegaskan komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam (NBD) terhadap pembangunan belia dan menyatakan bahawa peluang seperti ini membantu memupuk kepimpinan, kreativiti, ketahanan dan pemikiran global dalam kalangan anak muda. Beliau menggesa para peserta untuk menjalani perjalanan ini dengan penuh rasa ingin tahu, hormat dan keterbukaan, serta membawa pulang ilmu dan inspirasi yang boleh menfaatkan bagi menyumbang kepada pembangunan masa depan masyarakat dan rantau BIMP-EAGA yang lebih inklusif, mampan dan makmur.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, agensi rakan pelaksana, dan kerajaan negeri tuan rumah bersama khususnya Kerajaan Sabah dan Sarawak, atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program ini.
Selesai upacara pelepasan rasmi, delegasi belia telah berangkat memulakan perjalanan serantau mereka, melambangkan harapan bersama negara-negara anggota BIMP-EAGA terhadap generasi muda yang lebih bersatu, inovatif dan progresif.