






Sukan Perpaduan Islam Ke-6 2025 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi telah bermula pada 07 hingga 21 November 2025.
Bagi rombongan ketiga dan terakhir ini, Kontinjen Negara Brunei Darussalam seramai tiga orang terdiri daripada pasukan lawan pedang (fencing) iaitu 2 orang atlet dan seorang jurulatih telah bertolak ke Riyadh, Arab Saudi bagi menyertai kejohanan berkenaan.
Yang Mulia Awang Mohammad Haziq bin Asahrin akan bertanding dalam acara Men’s Individual Sabre. Manakala Yang Mulia 1591 Lt (U) Hajah Anis Sabrina binti Haji Yahya akan menyertai acara Women’s Individual Sabre.
Atlet-atlet lawan pedang negara akan bertanding pada 17 November 2025 bertempat di Boulevard SEF Arena 01C, Riyadh, Saudi Arabia.
Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar dan seterusnya memberikan kata-kata nasihat ialah Yang Mulia Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, Pengarah Belia dan Sukan serta pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan, Persekutuan Lawan Pedang Negara Brunei Darussalam serta keluarga.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Mulia Haji Ahmad Yaardy bin Haji Abdul Karim, Pegawai Penganalisa di Jabatan Belia dan Sukan dan diikuti dengan sesi bergambar ramai.