








Negara Brunei Darussalam akan menghantar kontinjen bagi menyertai Sukan Perpaduan Islam Ke-6 yang akan berlangsung secara rasminya bermula pada 07 hingga 21 November 2025 di Riyadh, Arab Saudi.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam dianggotai seramai 13 orang terdiri daripada 7 orang atlet dan 6 orang pegawai termasuk Chef de Mission, Ketua Urus Setia, Pegawai Urus Setia dan Jurulatih.
Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Perpaduan Islam Ke-6 2025, Riyadh, Arab Saudi telah berlangsung di Bilik Simpur, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Hadir menyempurnakan majlis berkenaan ialah Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Nabil bin Haji Roslan, Pembantu Perkembangan Ugama, Pusat Pembangunan Belia yang juga membacakan Doa Selamat di akhir majlis. Majlis seterusnya diikuti dengan Yang Mulia Awang Haji Mohd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani, Naib Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam menyampaikan sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Seterusnya penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam disempurnakan oleh Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada Yang Mulia Awang Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan selaku Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Perpaduan Islam Ke-6 2025, Riyadh, Arab Saudi. Majlis diakhiri dengan bergambar ramai bersama Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Pada Sukan Perpaduan Islam kali ini, Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak 3 acara sukan iaitu lawan pedang, karate dan angkat berat.
Edisi tahun ini merupakan penyertaan negara kali ke-5 pada Sukan Perpaduan Islam dan penyertaan terakhir Negara Brunei Darussalam ialah pada tahun 2022 di Sukan Perpaduan Islam Ke-5 di Konya, Republik Turkiye.
Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Yang Mulia Hani Yahya Maghrabi, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Kerajaan Arab Saudi di Negara Brunei Darussalam; Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan; dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta para ibu-bapa dan penjaga atlet.