









Negara Brunei Darussalam akan menghantar kontinjen bagi menyertai
Sukan Belia Asia Ke-3 2025, Manama, Bahrain yang akan berlangsung secara rasminya bermula pada 22 hingga 31 Oktober 2025.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam dianggotai seramai 11 orang terdiri daripada 5 orang atlet dan 6 orang pegawai termasuk Chef
de Mission, Ketua Urus Setia, Pegawai Safeguarding/Pegawai Urus Setia, Pengurus dan Jurulatih.
Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Belia Asia Ke-3
2025, Manama, Bahrain telah berlangsung di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Berangkat bagi menyempurnakan majlis berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja
Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Presiden
Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka
Awang Haji Matassan bin Haji Tahir dan diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji
Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Kemuncak majlis ialah sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda
Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan seterusnya penyerahan bendera
Negara Brunei Darussalam oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran
Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam kepada Yang Mulia Dayang Noorfairuzah Hani binti Haji Mohamad @ Haji Zaini selaku Chef de Mission
Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Belia Asia Ke-3 2025, Manama, Bahrain. Majlis diakhiri dengan Doa Selamat yang
dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Matassan bin Haji Tahir dan diselajurkan dengan
bergambar ramai bersama Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Edisi Sukan Belia Asia kali ini, Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak 2 acara sukan iaitu akuatik renang dan golf.
Tahun ini merupakan penyertaan negara kali ke-3 pada Sukan Belia Asia dan penyertaan terakhir Negara Brunei Darussalam ialah
pada tahun 2013 di Sukan Belia Asia Ke-2, Nanjing, China.
Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; Persatuan
Persatuan Sukan Kebangsaan; dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta para ibu-bapa dan
penjaga atlet.