









Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Persekutuan Karate Negara Brunei Darussalam (BRUKAF) telah mengendalikan Kursus Kejurulatihan Kebangsaan Sukan Karate Tahap Asas Tahun 2025 selama empat hari bermula pada 15 hingga 18 September 2025 bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Sehubungan dengan itu, Majlis Penyampaian Sijil Kursus Kejurulatihan Kebangsaan Sukan Karate Tahap Asas Tahun 2025 telah diadakan bertempat di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan.
Aturcara majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, diikuti dengan ucapan daripada wakil peserta kursus, Yang Mulia Sh Norsayeda binti Sayed Sofri @ Malai Norsayeda binti Malai Sofri dan diselajurkan dengan menyaksikan tayangan video Kursus Kejurulatihan Kebangsaan Sukan Karate Tahap Asas. Tetamu kehormat turut menyempurnakan penyampaian sijil-sijil kepada para peserta kursus. Doa Selamat telah dibacakan oleh Yang Mulia Muhammad Jafni Fakhrillah bin Haji Jabidi. Majlis diakhiri dengan bergambar ramai bersama tetamu kehormat.
Seramai 18 orang peserta menyertai kursus berkenaan terdiri daripada penggiat aktif sukan karate. Pencalonan dibuat oleh pihak BRUKAF melalui kelab-kelab dan atlet kebangsaan yang memegang tali pinggang hitam (Black Belt).
Pemudahcara-pemudahcara kursus ialah Yang Mulia Anggoro Bayu Pratama, Jurulatih Karate (Kata) dan Yang Mulia Haji Okhida Simangasing, Jurulatih Karate (Kumite).
Objektif utama kursus tersebut adalah untuk menyediakan platform asas kepada individu yang berminat dalam bidang kejurulatihan karate, agar mereka dapat memahami prinsip-prinsip asas kejurulatihan, struktur sukan karate di Negara Brunei Darussalam serta aspek teknikal dan keselamatan dalam melatih atlet secara sistematik dan profesional.
Manakala hala tuju Kursus Kejurulatihan Kebangsaan Sukan Karate Tahap Asas menekankan pembinaan asas kukuh untuk jurulatih baharu melalui penguasaan pengetahuan kejurulatihan, teknik dan taktik asas karate, aplikasi sains sukan, pencegahan kecederaan, perancangan latihan, pemahaman peraturan pertandingan, serta kemahiran kepimpinan dan komunikasi. Kursus ini juga memberi tumpuan kepada etika, profesionalisme, penilaian prestasi atlet, serta pembangunan mental dan fizikal mereka. Secara keseluruhan, ia bertujuan melahirkan jurulatih berkeupayaan untuk membimbing atlet akar umbi secara sistematik, selamat, dan beretika, di samping menyediakan laluan untuk perkembangan kejurulatihan ke tahap lebih tinggi.