












Aktiviti “Basic Abseiling” ini selaras dengan aspirasi Dasar Belia Negara dan Strategi 2020–2035
(DBNS) di bawah Teras Pembangunan Kapasiti dan Kepimpinan Belia, yang menekankan pembangunan potensi, peningkatan kemahiran dan pembinaan daya tahan belia. Melalui aktiviti ini, para peserta bukan sahaja didedahkan kepada teknik keselamatan dan kemahiran rekreasi luar, malah diasah keberanian, keyakinan diri, disiplin serta semangat kerja berpasukan. Pendekatan ini sejajar dengan matlamat DBNS untuk melahirkan belia Brunei yang berdaya saing, berketerampilan dan berwawasan, seiring dengan Wawasan Brunei 2035
Bagi mencapai objektif tersebut, Cawangan Brunei dan Muara dengan tenaga profesional Bahagian Latihan dan Pusat Sumber, Jabatan Belia dan Sukan akan menganjurkan Aktiviti “BasicmAbseiling” bertempat di Perkampongan Sukan Berakas, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Seramai 18 orang peserta belia berumur antara 15 hingga 35 tahun telah terpilih untuk menyertai aktiviti ini. Aktiviti akan dikendalikan oleh Ketua Jurulatih, Yang Mulia Awang Haji Ramli bin Haji Kurus, bersama sembilan (9) orang penolong jurulatih yang berpengalaman dan mempastikan setiap individu yang terpilih benar – benar bewibawa untuk mendapat ilmu ini.
Antara pengisian aktiviti termasuk taklimat keselamatan dan pengenalan abseiling, sesi pembelajaran teori dan praktikal, latihan teknik turun dan naik, dan seterusnya penyampaian sijil kepada peserta sebagai acara penutup selain Tetamu Khas menyaksikan sendiri pendedahan ilmu melalui tayangan video.
Aktiviti ini bukan sahaja menguji kekuatan fizikal dan mental, malah memberikan manfaat dari segi sosial, keselamatan, dan potensi kerjaya, khususnya bagi belia yang berminat dalam bidang penyelamatan, pasukan khas, atau rekreasi luar.
Majlis penutup akan disempurnakan dengan penyampaian sijil kepada para peserta oleh Yang Mulia Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Yang Mulia Haji Mohammad Rosfazilah bin Haji Yusly, Timbalan Pengarah Belia dan Sukan.
Pihak penganjur berharap aktiviti ini menjadi platform untuk para belia dalam mencabar diri tetapi di suasana terkawal, menyeronokkan dan penuh nilai pembelajaran, seterusnya menyumbang kepada pembentukan sahsiah diri yang positif.