






Kontinjen Negara Brunei Darussalam seramai 10 orang yang terdiri daripada Chef de Mission, Ketua Urus Setia, Pegawai Urus Setia (Jurubahasa), Fisioterapi, Jurulatih dan atlet-atlet sukan tenpin bowling dan olahraga telah kembali ke Negara Brunei Darussalam selepas berada di Jakarta, Republik Indonesia bagi mengikuti kejohanan 2nd SEA Deaf Games 2025.
Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menyambut ketibaan kontinjen negara dan seterusnya mengalungkan sesandang serta memberikan ucapan tahniah ialah Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan) serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Atlet olahraga negara berjaya membawa pulang dua (2) pingat gangsa melalui Yang Mulia Awang Amiruddin bin Haji Mohd Zain dalam acara 800 Meter Lelaki dan 1500 Meter Lelaki.
Manakala atlet-atlet tenpin bowling negara berjaya meraih satu (1) pingat gangsa bagi acara Men’s Trios melalui Yang Mulia Awang Khairul Anwar bin Haji Jofari, Yang Mulia Awang Mohammad Nazri bin Haji Mahat dan Yang Mulia Awang Md. Hariz bin Hassan.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam telah diketuai oleh Yang Mulia Pengiran Haji Norahalim bin Pengiran Haji Abd Rahman, Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke 2nd SEA Deaf Games, Jakarta, Republik Indonesia.