



BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 15 Zulhijjah 1446H/12 Jun 2025M. – Jabatan Belia dan Sukan telah melaksanakan Majlis Penyampaian Sijil kepada peserta-peserta Kursus Fasilitator bagi Tenaga Kerja Kebeliaan (Creative Facilitattion & Gamification) bertempat di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan. Kursus ini telah dijalankan selama 3 hari bermula 10 hingga 12 Jun 2025.
Seramai 30 orang peserta terdiri Pegawai dan Kakitangan dari Bahagian Belia dan Cawangan-Cawangan Daerah Jabatan Belia dan Sukan. Manakala seramai 3 orang Fasilitator kursus ini didatangkan dari Syarikat Learning Circle Enterprise, Malaysia.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil-sijil kepada para peserta ialah Yang Mulia Hajah Umi Khalthum binti Haji Abdul Karim, Pengarah Belia dan Sukan.
Objektif kursus ini diadakan adalah bertujuan untuk menyediakan dan melengkapkan tenaga kerja kebeliaan dengan ilmu pengetahuan fasilitator bagi mengendalikan program dan aktiviti-aktiviti kebeliaan terutama program jati diri iaitu kepimpinan dan kerja berpasukan.
Dengan bimbingan, dorongan dan latihan yang diberikan melalui kursus ini, pihak Jabatan berharap ianya dapat membantu dan seterusnya menyuntik semangat para pegawai dan kakitangan Bahagian Belia untuk mengendalikan program dan aktiviti kebeliaan.