



BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 Zulhijjah 1446/10 Jun 2025. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Majlis Ibadah Qurban bagi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya bertempat di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan hari ini.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, Pengarah-Pengarah Bahagian dan Jabatan, Pegawai dan Kakitangan KKBS dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.
Sebanyak enam (6) ekor kerbau telah diqurbankan pada tahun ini. Manakala seramai 303 orang penerima terdiri daripada penghuni Pusat Penempatan Sementara (PPS) dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), anak anak yatim dan warga KKBS dan Jabatan-Jabatan di bawahnya telah menerima daging-daging qurban berkenaan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan Selawat Tafrijiyah dan Sayyidul Istighfar diketuai oleh Yang Mulia Awang Muhammad 'Afif bin Ali, Pegawai Kerja (SKIPPA). Majlis diserikan lagi dengan ceramah bertajuk “Kelebihan Ibadah Qurban" yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Saharuddin bin Haji Petra, Ketua Bahagian Kaunseling dan Kefahaman Agama, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis diteruskan dengan penyempurnaan pengagihan daging qurban oleh Tetamu Kehormat Majlis, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan).
Majlis ini merupakan aktiviti / program tahunan yang diungkayahkan oleh Badan Kebajikan dan Keugamaan, KKBS bagi menyemarakkan sambutan hari-hari kebesaran Islam, di samping berkongsi kegembiraan bersama golongan golongan yang kurang berkemampuan. Majlis seumpama ini juga diadakan bagi mengeratkan ikatan ukhwah dan tali silaturahim dalam kalangan warga KKBS dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.