

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 19 Zulkaedah 1446/17 Mei 2025. - Anugerah Hari Belia Kebangsaan merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan negara kepada pergerakan belia di Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama menyahut titah serta hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan belia suatu aset yang perlu diberi fokus dan dihargai.
Sehubungan dengan itu, Urus Setia Anugerah Hari Belia Kebangsaan Ke-20, Tahun 2025 telah mengadakan Pemberigaan Anugerah Hari Belia Kebangsaan 2025 Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2025 bertempat di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan hari ini.
Pemberigaan mengenai Anugerah Hari Belia Kebangsaan 2025 dipengerusikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) selaku Menjalankan Tugas Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Taklimat Anugerah Hari Belia Kebangsaan disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Zainab binti Haji Morshidi, Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan dan diselajurkan dengan sesi soal jawab yang dibukakan kepada yang hadir. Majlis diteruskan dengan penyerahan poster Anugerah Hari Belia Kebangsaan 2025 kepada wakil setiap Persatuan-Persatuan Belia, Pegawai-Pegawai Perhubungan Awam dan para media yang hadir.
Kategori anugerah pada tahun ini dibahagikan kepada empat (4) iaitu: -
1) Anugerah Belia Cemerlang (BC)
Anugerah Belia Cemerlang merupakan pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan kepada seorang belia yang telah memberikan sumbangan jasa yang cemerlang dalam apa jua bidang diceburi atau memperlihatkan usaha-usaha yang membuahkan hasil membanggakan dan mengharumkan nama negara. Pencapaian cemerlang yang diperolehi diperingkat antarabangsa merupakan satu keutamaan, selain di peringkat serantau dan kebangsaan pula adalah satu kelebihan dalam pelbagai bidang sama ada keugamaan, kesukanan, pendidikan, keusahawanan, sains, teknologi, kebudayaan, kesenian dan sebagainya.
2) Anugerah Belia Berkhidmat (BB)
Anugerah Belia Berkhidmat merupakan pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan kepada seorang belia yang bergiat aktif dan memberikan sumbangan serta khidmat secara sukarela dan berterusan kepada masyarakat di negara ini dalam pelbagai bidang sama ada keugamaan, kesukanan, pendidikan, keusahawanan, sains, teknologi, kebudayaan, kesenian dan sebagainya.
3) Anugerah Pemimpin Muda Belia (PMB)
Anugerah Pemimpin Muda Belia merupakan satu pengiktirafan atas khidmat cemerlang yang telah diberikan oleh seorang pemimpin muda dalam memajukan organisasi yang telah dipimpinnya secara berterusan dalam pelbagai bidang sama ada keugamaan, kemasyarakatan, pendidikan, keusahawanan, alam sekitar, teknologi, kesukanan dan sebagainya. Sebagai penghormatan yang berterusan bagi ikutan dalam melahirkan pemimpin belia yang berwibawa, berwawasan dan berhemah tinggi.
4) Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia (PCUB)
- Projek Cemerlang Untuk Belia Bidang Sosial Ekonomi [PCUBSE]
Projek ini melibatkan kepada sumbangan dalam pembangunan belia dan mempelbagaikan ekonomi negara serta kesukarelawanan.
- Projek Cemerlang Untuk Belia Bidang Gaya Hidup Sihat [PCUBGHS]
Projek ini menjurus kepada mempromosikan kesihatan dan sukan riadah dalam pemerkasaan, penjagaan kesihatan kepada masyarakat di negara ini.
- Projek Cemerlang Untuk Belia Bidang Seni dan Kebudayaan [PUCBSKI]
Projek ini lebih kepada mengekalkan identiti dan ideology sesebuah masyarakat serta mempertingkatkan pembangunan dan perkembangan bidang seni dan kebudayaan.
Syarat-syarat permohonan bagi semua kategori anugerah adalah seperti berikut: -
a) Pencalonan adalah terbuka kepada Rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atau Penduduk Tetap (pemegang paspot Negara Brunei Darussalam sahaja), lelaki atau perempuan terdiri daripada belia perseorangan atau belia-belia yang terlibat dalam mana-mana organisasi yang diiktiraf oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam;
b) Berumur antara 15 hingga 35 tahun (tidak lebih daripada 35 tahun pada 01 Ogos 2024) bagi kategori PCUB / BC / BB sahaja;
c) Berumur antara 15 hingga 45 tahun (tidak lebih daripada 45 tahun pada 01 Ogos 2024) bagi kategori PMB sahaja;
d) Pemohon hanya dibenarkan untuk memohon satu (1) kategori sahaja (BC/BB/PMB);
e) Belum pernah menerima Anugerah Hari Belia Kebangsaan bagi tempoh tiga (3) tahun kebelakangan dan bagi kategori yang sama;
f) Borang sokongan dan pengesahan diisikan oleh mana-mana pihak atau individu yang dapat memberikan pengesahan mengenai apa-apa yang berkaitan dengan pemohon/calon;
g) Menyertakan penilaian prestasi kerja tiga (3) tahun kebelakangan bagi yang berkenaan;
h) Mengisi borang pendaftaran dengan lengkap, menyertakan dokumen dan video yang dikehendaki.
Permohonan yang tidak lengkap dan tidak mengikut syarat-syarat penyertaan tidak akan dipertimbangkan.
Tarikh tutup pendaftaran ialah pada hari Khamis, 29 Mei 2025 pukul 3.00 petang.
Orang ramai yang berminat boleh melayari portal rasmi Anugerah Hari Belia Kebangsaan di http://www.hbk.gov.bn atau Instagram @jbs.bn dan Facebook Jabatan Belia dan Sukan. Sebarang pertanyaan mengenai anugerah tersebut bolehlah menghubungi Urus Setia Anugerah Hari Belia Kebangsaan 2025, Jabatan Belia dan Sukan di alamat Bilik Sekretariat, Bangunan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas atau ditalian 2381903/4/5 sambungan 1300/1304 semasa waktu pejabat atau e-mel ahbk@belia-sukan.gov.bn.