BERAKAS, Khamis, 27 Rabiulakhir 1446/31 Oktober 2024. – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan akan menghantar seramai 15 orang belia dan seorang Ketua Delegasi (National Leader) bagi mewakili Negara Brunei Darussalam untuk menyertai Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun ke[1]48 (SSEAYP 48) selama 38 hari bermula pada 04 November hingga 11 Disember 2024 di Tokyo, Jepun.
Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Delegasi Negara Brunei Darussalam Ke Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun ke-48 (SSEAYP 48) telah diadakan bertempat di Bilik VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Hadir menyempurnakan penyerahan bendera negara tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat.
Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Nabil bin Haji Roslan, dan diikuti dengan ucapan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada Yang Mulia Syed Abdul Muiz bin Haji Syed Anayatullah Shah, Pegawai Belia dan Sukan selaku Ketua Delegasi Negara Brunei Darussalam Ke SSEAYP 48 dan diselajurkan dengan penyerahan tiket penerbangan kepada Ketua Delegasi oleh Tuan Yang Terutama Maeda Toru, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam. Majlis turut menyaksikan ikrar daripada Delegasi Negara Brunei Darussalam dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.
Pada tahun ini, Delegasi Negara Brunei Darussalam menghantar seramai 15 orang belia berumur antara 18 hingga 33 tahun, diketuai oleh seorang Ketua Belia, Yang Mulia Mohammad Azid bin Haji Mohamed Sambas dan seorang Penolong Ketua Belia, Yang Mulia Farah Naqibah binti Haji Abdul Rahim.
Sebanyak enam (6) tajuk utama akan dibincangkan semasa program dijalankan nanti iaitu Soft Power and Youth People to People Diplomacy; Economic Growth and Sustainable Community; Global Environment and Climate Change; Disaster Risk Reduction and Recovery; Good Health and Well-being; dan Digital Society. Tema perbincangan tersebut dipilih daripada “Implementation Plan of the Joint Vision Statement on ASEAN-Japan Friendship and Cooperation Trusted Partners" yang diterima pakai dalam Sidang Kemuncak Bagi Memperingati Ulang Tahun Ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun pada 17 Disember 2023 di Tokyo, Jepun.
Program antara lain bertujuan untuk mempromosikan persahabatan dan persefahaman bersama di kalangan belia Jepun dan negara anggota ASEAN khususnya Negara Brunei Darussalam dengan menyertai pelbagai program pertukaran sama ada dalam talian dan bersemuka. Ia juga bertujuan untuk meluaskan perspektif para belia tentang dunia, dan seterusnya mengukuhkan semangat kerjasama antarabangsa dan kemahiran praktikal para belia untuk kerjasama antarabangsa. Hasilnya, ia diharapkan dapat memupuk pemimpin generasi pelapis yang berkemampuan untuk menggunakan kemahiran kepimpinan dalam pelbagai bidang dalam masyarakat globalisasi.