

BERAKAS, Rabu, 11 Zulkaedah 1444H/31 Mei 2023M. – Seramai 21 orang ahli Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada Chef de Mission, Ketua Urusetia, 2 orang Fisioterapi, 4 orang Jurulatih, Penolong Jurulatih, 8 orang atlet sukan Olahraga, 2 orang atlet sukan Badminton dan 2 orang atlet sukan Renang telah berlepas ke Phnom Penh, Kemboja bagi menyertai kejohanan Sukan Para ASEAN Ke-12 yang berlangsung pada 3 hingga 9 Jun 2023.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar serta memberikan kata-kata nasihat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir ialah Tuan Yang Terutama Lim Hokseng, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kemboja ke Negara Brunei Darussalam; Yang Mulia Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Kesukanan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS); Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan) KKBS; Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS; Yang Mulia Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap (Kebeliaan) KKBS; serta pegawai-pegawai kanan KKBS.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Chef de Mission, Yang Mulia Awang Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.