
[Sumber: Pelita Brunei]
Berita: Nooratini Haji Abas – Penerangan
Foto: Hajah Ajijah Ali - KKBS
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 25 November 2017 - Terbitan majalah mekar dihasrat dapat menanam minat golongan kanak-kanak untuk membaca dan seterusnya melibatkan diri dalam bidang penulisan baik kreatif mahupun non-kreatif.
Majlis Sambutan 50 Tahun Penerbitan Mekar dan Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Karangan Majalah Mekar diadakan di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diikuti dengan tayangan video serta Persembahan Koir.
Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, selaku Pengerusi Majlis dalam ucapannya menyatakan kewujudan Majalah Mekar banyak memberi tikas terhadap perkembangan sastera tanah air. Katanya, majalah itu tidak akan terbit tanpa sidang redaksi, peranan besar pelukis tidak dapat dinafikan. 'Design' atau reka bentuk dan 'palitan' warna dihasilkan oleh pelukis DBP menjadi latar setiap keluaran majalah tersebut. Ia merupakan majalah sulung kanak-kanak terbitan DBP sejak tahun 1967 yang menjadi sumber rujukan dan bahan tambahan bagi guru-guru serta pelajar-pelajar dalam menguasai mata pelajaran bahasa Melayu. Keberadaan majalah tersebut turut memberi impak yang besar bukan sahaja daripada kualiti penulisan juga dalam melahirkan penulis-penulis yang tersohor.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga menyempurnakan acara memotong kek, pelancaran buku Mekarku Sayang, penyampaian replika kad prabayar Easi DST Khas dan penyampaian cenderamata kepada 123 sidang redaksi yang terdiri daripada editor, penyelaras reka bentuk dan ilustrasi, penyelaras penerbitan, jurugambar serta jurutaip.
Penerbitan sebanyak lapan buah buku Mekarku Sayang adalah usaha untuk mendaulatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, meningkatkan dan meluaskan lagi penggunaan bahasa Melayu melalui bahan-bahan terbitan, meningkatkan budaya membaca sebagai wadah penting bagi pembinaan mental juga perkembangan masyakarat serta negara.
Tetamu kehormat juga menyampaikan hadiah kepada para pemenang Peraduan Menulis Karangan Majalah Mekar. Juara Pelajar DBP 2017 dalam tiga kategori, iaitu Kategori 'A', 'B' dan 'C'. Pemenang masing-masing menerima hadiah wang tunai BND300, BND250, BND200, plak, sijil dan majalah mekar berjilid serta buku-buku terbitan DBP.