Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

09.12.2019 | Polo Negara Cemerlang : Emas akhirnya milik negara

Penat lelah Skuad Polo Negara Brunei Darussalam yang antaranya berkenan disertai oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dalam mempamerkan aksi cemerlang pada Temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Kali Ke-30, Republik Filipina akhirnya membuahkan pulangan berharga apabila skuad negara berhasil meraih pingat emas bagi negara selepas berjaya menundukkan pasukan Malaysia pada perlawanan Peringkat Akhir Polo bagi Divisyen B 'low goals' (0 - 2), yang berlangsung di Miguel Romero Polo Field, di sini.


Pada perlawanan Peringkat Akhir hari ini, skuad negara berjaya menewaskan skuad Malaysia dengan jaringan, 7 - 4 dalam empat chaka.


Ia merupakan pingat emas kedua negara setelah berjaya memperoleh pingat emas pertama negara melalui acara Wushu pada Temasya Sukan Sea kali ini.


Pada awal perlawanan, skuad negara memperlihatkan satu permulaan yang begitu baik dan menyerlah hingga mampu membuka tirai gol melalui Idris Sirat untuk meletakkan skuad negara di depan dengan, 1 - 0 hasil daripada gabungan empat pemain yang memperlihatkan keserasian dan kerjasama padu mereka di antara satu dengan yang lain.


Skuad negara terus mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya memanfaatkan pukulan penalti yang diberikan pengadil bagi mencetak gol kedua melalui Muhammad Farid Abdullah apabila pukulan cantik beliau meluru terus ke gawang lawan dan terus mendahului Malaysia di depan dengan jaringan, 2 - 0.

 

Pada chaka yang sama, skuad negara terus membuat serangan ke atas pihak lawan hingga pemain negara, Muhammad Farid Abdullah sekali lagi berhasil menyumbangkan gol ketiga buat pasukan negara pada minit-minit akhir, chaka pertama, untuk menjadikan jaringan, 3 - 0.

 

Sebelum tamat perlawanan chaka pertama, pasukan negara sekali lagi diberikan pukulan penalti oleh pengadil perlawanan, namun kali ini peluang itu gagal disempurnakan dengan baik oleh Muhammad Farid, di mana pukulan beliau tersasar dari gawang lawan.

 

Dengan kedudukan pasukan negara yang sudah memperoleh tiga gol, membuatkan skuad Malaysia pada chaka ini tidak henti-henti melakukan serangan dan memberikan tekanan kepada pasukan negara hingga akhirnya mereka berhasil mendapatkan pukulan penalti daripada pengadil perlawanan, sekali gus memanfaatkannya dan berhasil menembusi gawang negara melalui pukulan pada jarak 30 ela melalui Rashid Hasnan untuk merapatkan jurang gol menjadi 3 - 1.

 

Selepas saingan bersambung, pada chaka kedua perlawanan, pasukan negara sekali lagi diberikan peluang membuat pukulan penalti, namun sekali lagi gagal memanfaatkannya dengan baik apabila pukulan yang dilakukan oleh Muhammad Farid Abdullah sekali lagi tersasar dari gawang lawan, manakala pada minit-minit akhir perlawanan di chaka kedua, skuad Malaysia mengejutkan skuad negara apabila berhasil merapatkan jurang gol menjadi 3 - 2.

 

Masih belum berpuas hati dengan keputusan yang ada ketika itu, pada chaka ketiga, skuad Brunei semakin mengganas dan mempamerkan ketajaman dalam permainannya apabila berhasil menambah gol keempatnya melalui Muhammad Farid Abdullah yang membawa bola dengan pentas ke gawang lawan untuk terus mendahului, 4 - 2.

 

Gol keempat skuad negara itu tidak terhenti setakat di situ sahaja, bahkan skuad negara kian girang untuk menghasilkan gol lagi dan memperlihatkan taring mereka apabila skuad negara berpesta gol dan menambah tiga lagi jaringan, masing-masing melalui Huzaimi Haji Mahari, Idris Sirat, dan Muhammad Farid Abdullah untuk meninggalkan skuad Malaysia di belakang dengan jaringan, 7 - 2 pada chaka ketiga.


Walaupun skuad Malaysia tertinggal di belakang, namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk sekurang-kurangnya merapatkan jurang gol, ini terbukti pada chaka keempat, apabila skuad Malaysia menambah gol ketiga mereka melalui pukulan penalti, Rashid Hasnan.


Tidak lama selepas itu, skuad Malaysia sekali lagi diberikan peluang di luar kawasan jarak 60 ela, namun kali ini nasib belum menyebelahi mereka apabila pukulan yang dilakukan oleh Rashid Hasnan tersasar dari gawang Brunei.


Kehampaan Rashid Hasnan terubat apabila skuad Malaysia diberikan pukulan pada jarak 40 ela oleh pengadil perlawanan, kali ini, kesempatan yang diberikan dimanfaatkan sepenuhnya oleh beliau untuk mendapatkan satu lagi gol melalui pukulan beliau, seterusnya merubah kedudukan menjadi, 7 - 4 hingga tamat perlawanan.


Dalam temu bual bersama salah seorang pemain polo negara, Muhammad Farid Abdullah melahirkan rasa syukur atas kejayaan dan keberhasilan skuad polo negara meraih pingat emas bagi Divisyen B 'low goals' pada Temasya Sukan SEA Kali Ke-30, Republik Filipina, 2019.

 

''Kejayaan yang dicapai adalah hasil kerjasama yang kukuh yang ditunjukkan oleh pemain-pemain pasukan polo negara bersama pihak jurulatih dan pihak pengurusan juga kejayaan itu adalah hasil beberapa perubahan seperti taktik-taktik serangan dan pertahanan semasa perlawanan yang dilakukan oleh skuad negara dengan menilai kembali saat menentang skuad Malaysia yang lalu hingga mencapai kejayaan pada hari ini.

 


''Pada masa akan datang, kami pasukan polo negara akan sentiasa bekerja keras untuk mencapai kejayaan demi kejayaan dalam acara tersebut untuk mengharumkan nama negara di Sukan SEA akan datang,'' ujarnya.


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien selaku Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam berkenan menyaksikan, seterusnya menyampaikan pingat-pingat emas kepada skuad Polo Negara Brunei Darussalam yang menjadi juara  pada pertandingan itu.


Manakala pingat perak pula disampaikan oleh Naib Gabenor, Mark Leviste kepada skuad Malaysia selaku naib juara, manakala pingat gangsa bersama pula disampaikan oleh Sheila Remero kepada skuad Republik Filipina dan skuad Indonesia.


Berangkat menyaksikan perlawanan ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah.

 

Juga berangkat ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi ibni Duli yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.


Turut menyaksikan perlawanan, termasuklah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Filipina, Puan Yang Terutama Dayang Hajah Johariah binti Haji Wahab; dan Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam, Awang Haji Muhd. Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani.


Kemenangan ini merupakan satu kenangan dan lipatan sejarah amat bermakna dalam arena sukan polo khasnya bagi Negara Brunei Darussalam apabila berhasil menundukkan skuad lawan, Malaysia.


Pastinya kemenangan ini bakal menyuntik semangat buat pasukan kita di dalam apa jua jenis sukan, terutama sekali sukan polo, sejak penyertaan negara yang pertama pada Temasya Sukan SEA Kali Ke-29, Kuala Lumpur, 2017 dan penyertaan kedua negara pada tahun ini.


Penyertaan skuad negara lain dalam satu lagi kategori yang dipertandingkan pada Temasya Suka SEA Kali Ke-30 kali ini, iaitu acara polo Divisyen A high goals (4 - 6), skuad negara berhasil meraih pingat gangsa yang cukup bermakna dan mempamerkan satu lagi peningkatan amat ketara dalam sukan polo negara.


Kilauan pingat emas pastinya sudah dalam genggaman negara dan pastinya bakal menjadi ristaan kepada generasi akan datang juga diharap bakal melahirkan para pemain pelapis sukan polo negara pada masa depan yang bakal mengharumkan, seterusnya menjulang lagi nama negara di peringkat serantau mahupun antarabangsa melalui sukan polo, insyaaAllah.


Sumber: Pelita Brunei

Attachments
Created at 12/12/2019 5:08 PM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 12/14/2019 4:07 PM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar