Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

11.12.2019 | Pencapaian negara pada Sukan SEA Kali Ke-30 pamer peningkatan, kecemerlangan

Pencapaian yang membanggakan dan kejayaan yang cemerlang ini membuktikan Negara Brunei Darussalam mampu bertanding lebih jauh lagi dalam mana-mana acara sukan yang berprestij di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.


Setelah beberapa minggu berusaha gigih dan berhempas-pulas pada Temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Kali Ke-30, 2019, di Republik Filipina, kontinjen negara berjaya membawa pulang dua pingat emas, lima pingat perak dan enam pingat gangsa.


Pingat emas pertama negara pada temasya Sukan SEA kali ini diraih oleh atlet Wushu negara, Mohammad Adi Salihin bin Roslan dalam gabungan Men's Nandao dan Men's Nangun, manakala satu lagi pingat emas negara adalah melalui acara Polo bagi Divisyen B 'low goals' (0 - 2).

 

Pingat emas yang diraih melalui perlawanan Peringkat Akhir Polo bagi Divisyen B 'low goals' (0 - 2) disertai oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien; dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

 

Juga meraih pingat emas berkenaan, Awang Idris bin Sirat; Awang Huzaimi bin Haji Mahari; Awang Farid bin Abdullah; 414 Kolonel Haji Mohd. Huzaimi bin Pehin Datu Harimau Padang Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Husin; dan Ketua Inspektor Pengiran Mohd. Khairul Alimin bin Pengiran Haji Mohamad.


Sementara itu, lima pingat perak lagi diraih menerusi sukan Wushu dan Boling Padang. Tiga pingat perak Wushu diraih oleh atlet Wushu negara, Majdurano Joel Majallah Sain; dan Awang Mohammad Safiee Shayferan bin Roslan dalam Men's Duilian; Basma Lachkar bagi Women's Taijiquan; dan Hosea Wong Zheng Yu dalam Men's Taijiquan.


Dua pingat perak seterusnya diraih oleh atlet Boling Padang bagi Pairs Wanita, Dayang Esmawandy binti Brahim dan Dayang Hajah Amaliah binti Matali; dan Fours Lelaki, gandingan Awang Bahren bin Abdul Rahman; Awang Mohd. Hazmi bin Haji Idris; Awang Haji Amli bin Haji Gafar; dan Awang Haji Osman bin Haji Yahya.


Manakala itu, pingat gangsa diraih melalui sukan Polo, Bola Jaring, Wushu, Pencak Silat dan Karatedo.

 

Pasukan Polo negara Divisyen A high goals, meraih pingat gangsa yang berkenan disertai oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji  Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

 

Ia juga disertai oleh Awang Huzaimi bin Haji Mahari; Awang Muhamad Farid bin Abdullah; Leftenan Kolonel Haji Mohamad Huzaimi bin Pehin Datu Harimau Padang Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Husin; dan Awang Haji Abdul Azeez bin Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd. Jaafar.


Satu pingat gangsa bagi sukan Bola Jaring pula diraih dan berkenan disertai oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah bersama pasukan Yang Teramat Mulia, terdiri daripada Dayangku Khalisa binti Pengiran Abdul Rahman; Dayang Nur Hafizah binti Haji Abdul Sidek; Dayang Siti Marhayati binti Ahmad; Dayang Nur Ady Elzza Ezrenna binti Sofian; Dayang Siti Nurul Nazihah binti Awang Haji Hassan; Dayang Syafiqah Niqmatullah binti Amraan Nurafiqah @ Fatin Najlaa binti Samat; Dayang Nur Syuhaidah Fahriyana binti Haji Sukri; Dayang Nurul Ajeerah binti Abdullah; Dayang Zuraidah binti Haji Abdul Amit; dan Dayang Siti Norsaihah binti Mohammad Adi Najmi.

 

Seterusnya, dua pingat gangsa menerusi atlet Wushu, terdiri daripada Basma Lachkar bagi Women's Tajijian; dan Hosea Wong Zheng Yu bagi Men's Taijijian.


Ini diikuti dengan atlet Pencak Silat negara, Dayang Anisah Najihah binti Abdullah, meraih pingat gangsa dalam Kategori Seni Tunggal Wanita; dan atlet Karatedo negara, Muhd. Sufizan bin Mohd. Sofian juga meraih gangsa bagi Men's Kumite-67 Kilogram.


Hasil kejayaan yang dicapai, negara berada dalam kedudukan ke sembilan dengan mengumpul 13 pingat selepas didahului negara Republik Filipina, Thailand, Republik Sosialis Viet Nam, Republik Indonesia, Malaysia, Republik Singapura, Kemboja, Republik Myanmar, Negara Brunei Darussalam, Republik Demokratik Rakyat Lao dan Timor Leste.


Sumber: Pelita Brunei


Attachments
Created at 12/12/2019 4:55 PM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 12/12/2019 4:55 PM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar