Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

26.11.2019 | Skuad Bolasepak negara tewas kepada pasukan Viet Nam

Permainan Pasukan Bolasepak Negara Brunei Darussalam kurang menyerlah apabila dibenam 0-6 oleh pasukan Viet Nam pada perlawanan pembukaan bolasepak temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-30 berlangsung di Binan Football Stadium, petang tadi.


Berangkat menyaksikan perlawanan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.


Benteng pasukan negara mula digegarkan oleh pasukan Viet Nam seawal minit ke-9 dengan gol pertama mereka melalui Chinh Ha.


Pasukan Viet Nam terus mempamerkan aksi yang menarik dan percubaan berbahaya pada separuh masa pertama sekaligus menyumbatkan gol kedua mereka juga melalui Chinh Ha pada minit ke-23.

 

Walaupun pasukan negara terus mengasak untuk mencari gol pembukaan pada separuh masa kedua, namun Viet Nam semakin ganas dan Chinh Ha menghadiahkan hatrik bagi pasukannya di minit ke-48.

 

Kubu pertahanan skuad negara terus menerima asakan bertubi-tubi dan terus digegarkan dengan gol keempat dan kelima Viet Nam melalui sepakan Hung Trieu dan Chung Nguyen pada minit ke-58 dan 65.


Lapan minit sebelum wisel penamat dibunyikan, Viet Nam sekali lagi berjaya membolosi gawang negara melalui Hung Nguyen sekaligus mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan ini.

 

Ketua Jurulatih negara, Awang Aminuddin bin Jumat ketika ditemui semasa sidang media sejurus perlawanan berakhir berkata berdasarkan perlawanan itu, pemain didikannya perlu lebih gigih dan menggandakan lagi usaha mereka berikutan jarak mutu persembahan di antara pasukan lawan, di samping mengambil pengalaman dan pengajaran daripada perlawanan tersebut.

 

Pasukan negara dijadualkan menentang juara bertahan, Thailand pada Khamis, 28 November dan Laos pada hari Ahad, 1 Disember.



Sumber: Pelita Brunei


Attachments
Created at 11/26/2019 4:10 PM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 12/12/2019 4:57 PM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar