Permainan
Pasukan Bolasepak Negara Brunei Darussalam kurang menyerlah apabila
dibenam 0-6 oleh pasukan Viet Nam pada perlawanan pembukaan bolasepak
temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-30 berlangsung di Binan
Football Stadium, petang tadi.
Berangkat
menyaksikan perlawanan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri
Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri
Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi
Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Benteng pasukan negara mula digegarkan oleh pasukan Viet Nam seawal minit ke-9 dengan gol pertama mereka melalui Chinh Ha.
Pasukan
Viet Nam terus mempamerkan aksi yang menarik dan percubaan berbahaya
pada separuh masa pertama sekaligus menyumbatkan gol kedua mereka juga
melalui Chinh Ha pada minit ke-23.
Walaupun
pasukan negara terus mengasak untuk mencari gol pembukaan pada separuh
masa kedua, namun Viet Nam semakin ganas dan Chinh Ha menghadiahkan
hatrik bagi pasukannya di minit ke-48.
Kubu
pertahanan skuad negara terus menerima asakan bertubi-tubi dan terus
digegarkan dengan gol keempat dan kelima Viet Nam melalui sepakan Hung
Trieu dan Chung Nguyen pada minit ke-58 dan 65.
Lapan
minit sebelum wisel penamat dibunyikan, Viet Nam sekali lagi berjaya
membolosi gawang negara melalui Hung Nguyen sekaligus mengutip tiga mata
penuh dalam perlawanan ini.
Ketua
Jurulatih negara, Awang Aminuddin bin Jumat ketika ditemui semasa
sidang media sejurus perlawanan berakhir berkata berdasarkan perlawanan
itu, pemain didikannya perlu lebih gigih dan menggandakan lagi usaha
mereka berikutan jarak mutu persembahan di antara pasukan lawan, di
samping mengambil pengalaman dan pengajaran daripada perlawanan
tersebut.
Pasukan negara dijadualkan menentang juara bertahan, Thailand pada Khamis, 28 November dan Laos pada hari Ahad, 1 Disember.
Sumber: Pelita Brunei