Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

21.11.2019 | Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen NBD

Negara Brunei Darussalam (NBD) akan menghantar kontinjen bagi menyertai Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-30, Filipina 2019 yang akan diadakan secara rasminya bermula pada 30 November hingga 11 Disember 2019.


Kontinjen NBD dianggotai seramai 161 orang, terdiri daripada 87 orang atlet; dan 74 orang pegawai, termasuk Chef de Mission, Assistant Chef de Mission, Ketua Urus Setia, Pegawai Urus Setia, Pegawai Perhubungan, Pengurus Pasukan, Jurulatih dan Pegawai, Doktor juga Fisioterapi.


Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA Ke-30, Filipina 2019 berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.


Berangkat bagi menyempurnakan majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.


Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustapa bin Haji Murad, diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.


Kemuncak majlis ialah sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, seterusnya Penyerahan Bendera NBD daripada Duli Yang Teramat Mulia kepada Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA Ke-30, Filipina 2019, Awang Haji Muhd. Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani.


Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustapa bin Haji Murad, diikuti dengan bergambar ramai bersama Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.


Pada Sukan SEA kali ini, NBD akan menyertai sebanyak 14 acara sukan, iaitu akuatik, olahraga, sukan biliard, lawan pedang, bola sepak, golf, karatedo, boling padang, bola jaring, pencak silat, polo, taekwando, tenpin bowling dan wushu.


NBD mula mengikuti Sukan SEA pada tahun 1977, dan hingga ke hari ini negara memperoleh 12 pingat emas, 51 pingat perak dan 178 pingat gangsa, di mana pencapaian terbaik ialah semasa negara menjadi tuan rumah pada tahun 1999 dengan meraih empat pingat emas, 12 pingat perak dan 32 pingat gangsa.


Kontinjen negara dijangka bertolak ke Manila, Filipina secara berperingkat-peringkat bermula 22 November 2019.


Turut hadir pada majlis tersebut, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Christopher B. Montero; Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar), KKBS, Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan), KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said; Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; Persatuan-persatuan Sukan Kebangsaan; dan Pegawai-pegawai Kanan KKBS; juga para ibu bapa dan penjaga.

seagames_2.jpg

seagames_3.jpg

seagames_5.jpg


Sumber: Pelita Brunei

Attachments
Created at 11/25/2019 10:24 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 11/25/2019 10:32 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar