Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

21.11.2019 | Beraksi dengan cemerlang, bersungguh-sungguh

Penglibatan para atlet bagi menyertai Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-30, Filipina 2019 amat penting kerana ia menunjukkan perkembangan sukan kita yang berterusan dan semangkin meningkat, terutamanya dengan memastikan kita mempunyai pelapis-pelapis yang akan membawa nama Negara Brunei Darussalam (NBD) lebih jauh ke hadapan dalam kejohanan-kejohanan kini dan yang akan datang.


Tidak dapat dinafikan, bukanlah senang untuk meraih tahap ini kerana ia hanya dapat dicapai hasil pengorbanan dan pelaburan tenaga intensif yang diharungi oleh para atlet secara berterusan.


Setiap atlet yang terlibat membuat persiapan dengan penuh gigih dan semangat yang utuh, dan sekarang terbukti para atlet berada dalam landasan untuk meraih kecemerlangan dalam kejohanan nanti.


Demikianlah yang digariskan dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin pada Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA Ke-30, Filipina 2019, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.


Yang Berhormat mengingatkan para atlet hendaklah berasa bangga kerana pemilihan setiap atlet di sini adalah berdasarkan tahap kemahiran, profesionalisme dan komitmen tinggi yang terbaik di antara yang terbaik.


''Keraihan pingat bukannya satu perkara yang tidak dapat dikecapi. Setiap atlet kita memang berupaya untuk bertanding dengan atlet-atlet lain, dan kita amatlah yakin atlet kita akan mengibarkan bendera NBD dengan penuh kemegahan,'' tegasnya.


Apa yang paling mustahak, ujar Yang Berhormat, ialah keyakinan yang tinggi ke arah mencapai kejayaan tersebut yang disertakan dengan doa dan kita akan terus memberikan sokongan dan doa sepanjang para atlet berada di arena pertandingan.

 


Menurut Yang Berhormat, para atlet juga adalah diingatkan bahawa harapan negara ialah para atlet akan beraksi dengan cemerlang dan bersungguh-sungguh demi meraih kemenangan di setiap acara sukan yang disertai, di samping memperbaiki rekod-rekod kemenangan negara daripada Kejohanan-kejohanan Sukan SEA sebelum ini.


Pada masa yang sama, ujarnya, dengan keghairahan kontinjen kita untuk mencapai kecemerlangan nanti, apa yang turut penting, para atlet hendaklah sentiasa memiliki tahap disiplin yang tinggi dan semangat kesukanan yang jitu dan kompetitif, di samping menjaga tatasusila juga nama baik dan imej NBD.


''Tunjukkanlah dan banggakanlah bahawa para atlet adalah anak Brunei yang saling hormat menghormati dengan berpegang teguh kepada Falsafah Melayu Islam Beraja, di samping berkeupayaan untuk bersaing dengan kompetitif ke arah mencapai yang terbaik,'' tambahnya.


Yang Berhormat turut menyembahkan setinggi-setinggi menjunjung kasih di atas keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam untuk mengurniakan Sabda dan Menyempurnakan Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Chef de Mission yang mencerminkan sokongan dan dukungan Duli Yang Teramat Mulia yang amat mendalam ke arah kemajuan sukan di negara ini.


Sumber: Pelita Brunei

Attachments
Created at 11/25/2019 10:10 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 11/25/2019 10:14 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar