Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

08.09.2019 | Riadah Berbasikal Keputeraan pewujudan warga sihat

01 HM.jpg

02 hm.jpg

03 hm.jpg

04 hm.jpg

05 hm.jpg

Riadah Berbasikal Keputeraan 2019 bukan hanya sekadar aktiviti kesihatan malah ia mampu membentuk budaya sukan dan memantapkan perpaduan menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh yang menjurus pada pewujudan warga sihat.


Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengetuai riadah berkenaan dan bercemar duli berkayuh basikal bersama lebih 3,000 pekayuh basikal terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dari kanak-kanak hinggalah warga emas, setentunya menjadi catatan sejarah tersendiri dan kenangan yang manis.


Semangat kesukanan yang tinggi dan penglibatan Kebawah DYMM menunjukkan baginda merupakan ikon dalam menjana dan menggerakkan aktiviti sukan untuk sama-sama mempraktikkan ke arah kehidupan bergerak aktif dan sihat.


Begitu juga penglibatan yang ditunjukkan daripada paduka-paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen berserta kerabat diraja yang lain turun padang dalam memeriahkan aktiviti sihat itu.


Pada tahun ini Riadah Berbasikal Keputeraan 2019 telah dianjurkan sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-73 Tahun dan Acara Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni dan Belia Kebangsaan 2019 Sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan Kali Ke-8 Tahun 2019 serta Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-14 Tahun 2019.


Keberangkatan baginda berserta kerabat diraja yang lain di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar, dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.


Acara tersebut turut disertai oleh menteri-menteri kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, para jemputan dan orang ramai termasuk warga asing.


Sejurus keberangkatan, Kebawah DYMM mula-mula dijunjung bagi menandatangani bingkai jersi khas sempena Riadah Berbasikal Keputeraan 2019, diiringi dengan persembahan gulintangan daripada gabungan Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT) dan nyanyian lagu Selamat Puja Usia oleh kumpulan koir seramai 20 orang terdiri daripada gabungan belia-belia Universiti Brunei Darussalam, Politeknik Brunei, Mukim Lumapas, Special Olympic Brunei Darussalam (SOBD) dan Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT).


Upacara pelepasan riadah berbasikal bermula sejurus 'air horn' dibunyikan di mana Kebawah DYMM berkenan mendahului riadah berbasikal mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh 11.50 kilometer yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien dan melintasi jalan-jalan utama antaranya Jalan Sultan Omar 'Ali Saifuddien, Jalan Kianggeh, Jalan Sekolah, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Jalan Haji Basir, Jalan Sultan dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja kemudiannya berkenan menyaksikan perbarisan lalu daripada seramai 73 orang pekayuh basikal dari keempat-empat daerah yang berjaya mengelilingi 73 kilometer yang berlepas sejak pukul 6.00 pagi dan perarakan keluarga dari pelbagai peringkat umur.


Seterusnya, Kebawah DYMM berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.


Selain riadah berbasikal, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja turut menyaksikan secara lebih dekat kemeriahan Bandarku Ceria di dalam Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien dengan pelbagai pameran dan aktiviti.


Para peniaga-peniaga kecil dan sederhana yang sudah seperti biasanya berniaga di Bandarku Ceria setentunya tidak melepaskan peluang untuk berjaja pada hari tersebut.


Riadah Berbasikal Keputeraan 2019 ini dilaksanakan oleh para belia dengan tujuan bagi memberikan peluang dan kesedaran kepada para belia dalam aspek kekeluargaan dengan memfokuskan kepada pengukuhan institusi keluarga serta perubahan 'mindset' yang lebih positif yang mana acara ini bertemakan 'Belia Ceria Keluarga Bahagia' dengan pengisian aktiviti dibahagikan kepada dua zon dan dikendalikan oleh agensi kerajaan, swasta, persatuan-persatuan dan kelab-kelab belia, sukan dan yang berkaitan, iaitu Zon Kreativiti dan Inovasi yang menumpukan kepada aktiviti-aktiviti belia dalam bentuk industri kreatif serta belia-belia yang bergiat aktif di dalam bidang teknologi serta Zon Sukan Ria dan Keluarga, iaitu menumpukan kepada aktiviti-aktiviti sukan (sukan tradisi dan ria) termasuk aktiviti-aktiviti bagi kanak-kanak dan keluarga.

 

Pada acara tersebut, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja juga berkenan menyaksikan Pertandingan Tarik Kalat Kebangsaan Peringkat Akhir Remaja 19 Tahun sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-73 Tahun yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Pasukan Chainblock setelah mengalahkan pasukan KB Bull Panaga A.


Kebawah DYMM dan kerabat diraja juga berkenan ikut serta pada aktiviti Tarik Kalat tersebut.


Selain itu, beberapa persembahan juga turut mengambil tempat, antaranya persembahan dari Persekutuan Wushu Brunei Darussalam, persembahan Karatedo oleh Shotokan JKMO, persembahan silat oleh seramai 30 pesilat di bawah Jabatan Belia dan Sukan serta persembahan Tarik Kalat Keluarga Ceria anjuran Persatuan Tarik Kalat Brunei Darussalam.


Keakraban antara raja dengan rakyat juga turut terserlah sepanjang acara tersebut berlangsung apabila Kebawah DYMM dan juga kerabat baginda berkenan menerima junjung ziarah serta mengabdikan gambar kenangan bersama rakyat baginda yang turut sama memeriahkan acara berkenaan.


Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dalam penganjuran Riadah Berbasikal Keputeraan 2019 bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta penglibatan semua kementerian yang lain serta Persekutuan Basikal Brunei Darussalam, memperlihatkan sukan diberi pengiktirafan, penghormatan dan penggalakan yang sama penting dengan sektor sosial yang lain bagi mencapai matlamat pembangunan negara, perpaduan, dan kestabilan yang berterusan khususnya sukan berbasikal.











Sumber : Pelita Brunei

Attachments
Created at 9/9/2019 2:48 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 9/9/2019 2:48 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli