Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

03.08.2019 | Bengkel terokai spektrum pelbagai industri kreatif

Bengkel 'Startup Weekend Brunei: Creative Tech Edition' yang julung kalinya diadakan menyasarkan kepada peserta untuk menerokai spektrum pelbagai industri kreatif dan memberikan pendedahan kepada mereka bagi mewujudkan impak dalam industri kreatif melalui reka bentuk inovatif dan idea kreatif peralihan ke dalam suatu perniagaan melalui pewujudan penyelesaian-penyelesaian yang mampan dengan panduan mentor dan pakar di rantau ini.


Bengkel tersebut disertai oleh seramai 58 individu yang berminat dalam menceburi industri kreatif di negara ini, yang mana semasa menyertai bengkel mereka dibahagikan kepada 10 pasukan dan diberikan pendedahan mengenai Kanvas Model Perniagaan, Pengesahan Pemikiran Reka Bentuk, Pasaran, Undang-undang kreatif dan 'Pitching'.


Kesepuluh pasukan itu telah bergabung idea dan berjaya menjadikannya kepada bentuk produk demo, rekaan, aplikasi malahan sesetengah mereka mempunyai laman web ujian sendiri.


Bengkel selama tiga hari yang bermula Khamis lalu diadakan di Bilik Sepakat, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.


Semasa bengkel itu juga, tiga pasukan terbaik dipilih berdasarkan pengesahan model perniagaan mereka, pengesahan pelanggan dan pelaksanaan dan reka bentuk diberikan hadiah oleh penganjur, Startup Weekend Brunei yang terdiri daripada tiga pasukan usahawan yang berbeza iaitu EICO Enterprise, InTurn, The Creative Core BN (TCCBN) dan Creativate kesemuanya berpangkalan di iCentre.


Juara, Startup Weekend Brunei: Creative Tech Edition disandang oleh Pasukan 'Place Your safe space', yang membuat rekaan aplikasi interaktif mudah diakses bagi membantu menggalakkan gambaran emosional melalui lukisan; naib juara diraih oleh Pasukan 'Quembara' yang mencipta permainan-permainan RPG interaktif untuk memelihara permainan tradisi dan budaya Brunei sementara Pasukan 'Tapih Rancung' dengan ciptaan sinjang instant menduduki tempat ketiga.


Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.


Untuk edisi bengkel kali ini, lapan mentor telah dijemput dari pelbagai latar belakang bagi memberikan panduan kepada peserta iaitu 'Aaqiil Ahmad, Filterworks Productions; Aizuddin Fakhri, Naindah.com & KadaiRuncit.com;  Angie Ang, Eversheds HEP; Ian Ong, Megabytes Solution; Izzuddin Hussin, Pixelated; Lisa Ahmad, Kaleidoscope; Liyana Hanif, Hoco Agency; dan Nina Sharil Khan, PopCon, Malaysia.


Sumber : Pelita Brunei

Attachments
Created at 8/14/2019 9:34 AM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 8/14/2019 9:51 AM by Dk Yati Binti Pg Rumbli