Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
16.06.2019 | Memperkasa belia dalam pembangunan negara

Penglibatan belia dalam pembangunan negara yang seimbang kepada ekonomi dan sosial adalah penting dan kunci kepada penglibatan itu adalah pemerkasaan belia dengan memberi peluang kepada mereka untuk bersuara dan dilibat sama dalam pelaksanaan matlamat negara.

 

Dalam sesi kedua Forum Kongres Belia Kebangsaan 2019 bertajuk 'Penglibatan Belia' membincangkan bagaimana untuk mendorong para belia selaku agen perubahan untuk tampil ke hadapan dan menyumbang secara lebih bermakna ke arah pembangunan negara.

 

Ahli panel jemputan terdiri daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad; Pengasas Bersama Hand4Hand, Awang Muhammad Iqbal Fakhri bin Haji Awang Damit; Governer, Kelab Pemimpin Muda Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Penolong Ketua, Kumpulan Belia Syababul Iman, Masjid Sultan Syarif Ali Kampung Sengkurong, Dayang Siti Julaiha binti Puasa; Pegawai Pendidikan, Sekolah Rendah Dato Basir Kluster 3, Awang Bahri bin Bohari; dan Pengasas Society for Community Outreach and Training (SCOT), Awang Mohammad Anwar bin Haji Mohammad.

 

Dalam mendorong para belia untuk melibatkan diri dalam pembangunan negara Yang Berhormat Awang Iswandy menyatakan mereka perlulah bermula dari bawah dan tidak perlu terus melakukan sesuatu yang besar dan tergesa-gesa.

 

Beliau menjelaskan, penglibatan paling kecil dan mudah yang boleh disertai oleh para belia ialah dalam mengikuti kempen-kempen bagi meraih kesedaran orang ramai.

 

Pengasas Bersama Hand4Hand, Awang Muhammad Iqbal Fakhri dalam pada itu menyatakan antara cabaran paling utama yang dihadapinya sepanjang melaksanakan tugas-tugas organisasinya ialah untuk berhadapan dengan orang ramai dan masyarakat luar kerana kita tidak dapat untuk memuaskan hati semua pihak.

 

Apa yang saya pelajari dari sini ialah supaya berpegang teguh kepada nilai-nilai sendiri kerana semakin tinggi tanggungjawab yang dipikul, semakin banyak cabaran yang akan dihadapi.

 

Pegawai Pendidikan, Sekolah Rendah Dato Basir Kluster 3, Awang Bahri menyarankan para belia agar tidak putus asa dalam mencapai apa yang mereka impikan.

 

Beliau turut mengingatkan para belia untuk membuang sifat negatif dalam diri mereka, jangan memilih pekerjaan dan mengubah 'mindset' mereka dari negatif kepada pemikiran positif.

 

Sementara itu, Pengasas SCOT, Awang Mohammad Anwar pula mengongsikan para belia agar tidak takut untuk gagal dan anggap kegagalan itu sebagai suatu yang positif untuk kita terus menjadi yang lebih baik.

 

Bagi Dayang Siti Julaiha binti Puasa pula, penglibatannya bermula sejak berusia 18 tahun lagi di mana seorang rakannya menyuruh beliau untuk turut serta dalam acara perkhemahan yang dikendalikan oleh belia masjid, dan dari sana beliau sering mengikuti acara-acara seumpamanya sehingga ke hari ini.

 

Apa yang memberikan inspirasi kepada beliau semasa mengikuti acara-acara berkenaan ialah apabila menyaksikan ahli-ahli jawatankuasa yang mengendalikan acara-acara tersebut terdiri daripada mereka yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak dan mempunyai pekerjaan.

 

Dari saat itu beliau mulai berfikir bagaimana untuk menyumbangkan bakti dan tenaga kepada negara dan menanai gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir, dan dari situlah beliau mulai melibatkan diri secara aktif menyertai apa jua aktiviti yang dilaksanakan melibatkan belia

Attachments
Created at 7/6/2019 12:20 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 7/6/2019 12:20 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli