Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

21.05.2019 | Tadarus Belia Senegara himpunkan lebih 1,000 beliawanis

Lebih 1,000 beliawanis daripada agensi-agensi kerajaan, persatuan-persatuan belia, penuntut-penuntut, bekas peserta-peserta program belia dan orang perseorangan menyertai Majlis Perhimpunan Bertadarus Al-Quran Belia Senegara bagi Peserta Perempuan Tahun 1440 Hijrah / 2019 Masihi.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Johan Qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Tahun 1440 Hijrah / 2019 Masihi, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki.

 

Manakala, bacaan khatam Al-Quran bermula dari Surah Adh-Dhuha hingga Surah Al-Masad dikepalai oleh penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Dayang Ainaa Zahirah binti Haji Abdul Manap, diteruskan dengan bacaan Takhtim oleh Kumpulan Pendikir Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

 

Sementara itu, Doa Khatam dibacakan oleh penuntut ITQSHHB, Dayang Asiah binti Haji Ibrahim, diteruskan dengan Dikir Marhaban oleh Kumpulan Pendikir KUPU SB.

 

Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam pula dibacakan oleh Dayangku Siti Ummi Syazana.


Majlis Perhimpunan Bertadarus Al-Quran Belia Senegara, antara lain bertujuan untuk menyemarakkan bulan Ramadan dengan pengisian-pengisian bermanfaat, terutama dengan pembacaan Al-Quran, di samping untuk mempertingkatkan dan mengukuhkan persefahaman dan kerjasama di antara agensi-agensi yang terlibat dalam pembangunan dan tarbiah belia juga menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan.

 

Penganjuran majlis perhimpunan seumpama itu diharap dapat meningkatkan lagi penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan yang sudah setentunya berupaya menjadi benteng buat generasi belia dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.

 

Juga hadir, Setiausaha Tetap (Pengurusan Dasar dan Strategi), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; isteri-isteri Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan para pegawai juga kakitangan KKBS.

Attachments
Created at 5/25/2019 10:15 AM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 5/25/2019 10:15 AM by Dk Yati Binti Pg Rumbli