Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Riadah Berbasikal Keputeraan 2018

RBK2018_2.JPG


Sumber : Pelita Brunei


Oleh : Saerah Haji Abd Ghani (Penerangan)

Gambar : Haji Mohd Norfaisal Haji Matyassin & Ak Hussni Pg Hassan (KKBS)

 

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 Julai 2018 - Riadah Berbasikal Keputeraan jelas memperkukuhkan lagi hubungan pemimpin negara bersama rakyat menjurus kepada kepentingan budaya sukan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Suasana ibu Negara Brunei Darussalam sangat meriah apabila semua lapisan masyarakat terutamanya penggemar dan peminat sukan berbasikal tidak melepaskan peluang hadir beramai-ramai menyertai acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2018 yang diadakan untuk memeriahkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-72 Tahun ini.

Acara antara lain bertujuan bagi membentuk budaya sukan dan pemantapan perpaduan menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh yang menjurus kearah mewujudkan warga sihat.

RBK2018_8.JPG

Sehubungan itu, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyertai acara Riadah Berbasikal tersebut yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di sini.

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

RBK2018_10.JPG

Keberangkatan baginda berserta kerabat diraja yang lain dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Acara riadah dimulakan dengan nyanyian lagu 'Selamat Puja Usia' oleh Kumpulan koir terdiri daripada Alumni Peserta Program Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun dan kanak-kanak kelainan upaya dari Special Olympics Brunei Darussalam. Manakala 'hand flapper' telah dipegang dan digerakkan oleh seramai 72 belia terdiri daripada Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT).


RBK2018_7.JPG


Acara pelepasan kayuhan diiringi dengan mainan alat muzik oleh pasukan Serunai dan Tambur, Jabatan Penjara.

Kebawah DYMM seterusnya mendahului Riadah Berbasikal mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh 11.490 kilometer dan melintasi jalan-jalan utama antaranya Jalan Sultan Omar 'Ali Saifuddien, Jalan Kianggeh, Jalan Sekolah, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Jalan Haji Basir, Jalan Sultan dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.

Juga menyertai Riadah Berbasikal, Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap serta orang awam.

Sejurus mengakhiri acara Riadah Berbasikal tersebut, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja kemudiannya berkenan menyaksikan perbarisan lalu daripada seramai 72 orang pekayuh basikal dari keempat-empat daerah yang berjaya mengelilingi 72km yang berlepas sejak pukul 6.15 pagi lagi.

Pada majlis itu, Kebawah DYMM berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Selain Riadah Berbasikal, baginda turut menyaksikan secara lebih dekat lagi kemeriahan Bandarku Ceria dengan berbagai-bagai jenis aktiviti yang disediakan daripada agensi-agensi yang terlibat seperti aktiviti sempena Sambutan 50 Tahun Special Olympics; Demonstrasi 'First Aid Responding to an Emergency' oleh Persatuan Kebangsaan Bulan Sabit Merah; Talent Identification (TID) Program khusus bagi mencari bakat atlet dan potensi dalam bidang sukan; Program pendidikan dan 'outreach' berkaitan dengan Anti-Doping; Program kecergasan dan kesihatan B-FIT4LIFE; Aktiviti 'bicycle polo'; Pameran Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Jabatan Perkhidmatan Air dan Jabatan Ukur; Pameran Ar Rafi Archery Brunei dan Paintball Arena Jerudong; Pameran dan Aktiviti Unit Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam;  Pameran Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya dan Persatuan Peniaga Automobil dan sebagainya.

RBK2018_6.JPG

Riadah Berbasikal Keputeraan 2018 dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama-sama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kesihatan serta penglibatan semua kementerian yang lain dan juga Persekutuan Basikal Brunei Darussalam.

Kejayaannya mencerminkan bagaimana pendekatan keseluruhan negara (Whole of Nation Approach) yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat termasuk pihak bukan kerajaan atau NGOs yang merupakan sangat efektif dan berkesan, apatah lagi jika diguna pakai dalam memajujayakan program-program pembangunan negara.

RBK2018_9.JPG 


Attachments
Created at 7/23/2018 4:30 PM by Ak Hussni Bin Pg Hassan
Last modified at 7/23/2018 5:33 PM by Ak Hussni Bin Pg Hassan